Dakwa penduduk, sehingga kini mereka masih menanti tindakan selanjutnya berikutan pihak terlibat yang diharap membela nasib mereka terus berdiam diri. Ini termasuk menyelesaikan isu wang pampasan berjumlah RM12 juta kepada mangsa.
Disebabkan masalah tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih belum dapat melaksanakan kerja-kerja pembaikan untuk mengatasi masalah berkenaan.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati suasana penempatan tersebut masih tidak berubah.
Tanah mendap yang berada di struktur penempatan tersebut masih boleh dilihat dan tiada sebarang kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Utusan Malaysia turut difahamkan, terdapat lot-lot rumah di kawasan itu masih dihuni oleh penyewa walaupun notis kawasan tidak selamat diduduki telah dikeluarkan sebelum ini.
Tanah mendap yang berlaku pada 15 April 2011 itu menyebabkan penduduk diarahkan berpindah berikutan kawasan itu tidak lagi selamat diduduki.
Pada Februari 2013, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM160 juta bagi kerja-kerja menstruktur semula kawasan Kampung Pindah yang mengalami masalah tanah mendap.
Terbaharu, Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyid­din Yassin dan Kampung Baru bakal dibangunkan semula dengan melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM61 bilion serta merangkumi kawasan lantai pembangunan seluas 8.36 juta meter per segi.
Penulis berpendapat sebelum sebarang pembangunan dimulakan di kawasan itu, pihak bertanggungjawab, khususnya PKB perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah Kampung Pindah demi kesejahteraan penduduk. -