Kelantan Di Gondolkan

Klik Untuk Bantah COMANGO

02 January 2015

Harga Petrol Turun.. Harga Barang Tak Turun.. Peniaga Untung Lebih..



KUALA LUMPUR - Penurunan harga petrol tidak menjamin penurunan harga barang keperluan serta kos sara hidup memandangkan kebanyakan peniaga lebih berorientasikan keuntungan.

Pandangan itu dizahirkan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman yang berpendapat penurunan harga petrol pada kebiasaannya tidak akan mempengaruhi penurunan harga barang.

"Jika tengok sejarah sebelum ini pun, apabila minyak turun harga, harga barang tidak akan turun. Ini kerana kebanyakan peniaga lebih berorientasikan keuntungan berbanding kebajikan pengguna.

"Tetapi apabila harga petrol naik sedikit pun, cepat sahaja mereka naikkan harga," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 diturunkan sebanyak 35 sen, masing-masing kepada RM1.91 seliter dan RM2.11 seliter, berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Dr Ma'amor Osman turut berpendapat sudah tiba masanya kejujuran peniaga dituntut untuk turut sama menurunkan harga barangan. 

"Alasan harga petrol naik sering digunakan untuk menaikkan harga barang, jadi bila harga petrol turun ia perlu diselarikan dengan penurunan harga barang," katanya.

Rakyat pula, menurutnya perlu berterima kasih kepada kerajaan dan penjimatan daripada penurunan harga petrol itu perlu digunakan untuk tujuan lain yang bermanfaat di samping perlu meneruskan amalan berjimat cermat.    

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata harga petrol dijangka menunjukkan trend penurunan sepanjang tahun  ini, ekoran harga minyak mentah dijual antara USD60 dan USD80 setong.

"Penurunan harga petrol kali ini memang tidak dijangka dan merupakan perkara yang luar biasa.

"Perkara itu mungkin kerana Amerika Syarikat telah membina 20,000 telaga minyak mentah untuk menampung permintaan berbanding Arab Saudi yang mempunyai 2,000 telaga," katanya.

Amir Hussin berkata penurunan itu bakal menyaksikan kos sara hidup sama ada menurun atau tidak berubah, tetap bergantung kepada harga barang keperluan. 

Namun, beliau meramalkan perkara itu akan menyukarkan kira-kira 386,000 penoreh dan pekebun kecil getah yang terpaksa berdepan dengan penurunan harga getah.

Beliau berkata banyak pihak tidak mengetahui bahawa jika harga petrol menurun, harga getah asli juga akan menurun dan sebaliknya.

"Industri pembuatan tayar akan menggunakan minyak mentah jika harganya turun menyebabkan permintaan getah asli menurun sebaliknya jika harga minyak mentah tinggi industri berkenaan akan menggunakan sepenuhnya getah asli untuk membuat tayar," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia Noorul Hassan Saul Hameed berkata persatuan itu bersedia menurunkan harga barangan makanan sekiranya pengedar, pemborong dan pengeluar turut menurunkan harga. 

"Mungkin masih awal untuk membuat andaian memandangkan harga petrol baru diturunkan tapi kos lain masih meningkat seperti tarif elektrik dan sewa kedai," katanya.

Suri rumah Norliah Baba, 49, berkata pada masa ini, beliau belum melihat sebarang penurunan pada harga barang.

"Masa beli barang di pasar harga masih sama, saya berharap peniaga dapat menurunkan harga barang dapatlah membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah," katanya.

Pemandu teksi Dzulkifli Bidin, 60, berharap penurunan harga petrol akan menurunkan harga alat ganti seperti minyak pelincir yang harganya meningkat sejak kenaikan harga minyak.

"Saya berharap kerajaan dapat memainkan peranan supaya meninjau harga barangan bagi memastikan pengedar dan peniaga tidak terus mengaut keuntungan berlipat ganda walaupun harga petrol sudah turun," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rakan-rakan Blog