Kelantan Di Gondolkan

Klik Untuk Bantah COMANGO

23 October 2014

Menanti Azmin Terjah Lorong & Pusat Maksiat Selangor



SUDAH kira-kira sebulan Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.  Antara janjinya sebaik mengangkat sumpah, Azmin mahu menjadi pemimpin negeri yang lebih kerap turun padang bertemu rakyat daripada berada di pejabatnya yang berhawa dingin.

Beliau juga mahu dilihat lebih kerap berpakaian biasa daripada bertali leher dan memakai kot.

Untuk mencapai matlamat itu, pendekatan terjah atau turun padang secara tiba-tiba menjadi simbolik baru kepimpinannya. Tidak lama selepas memegang jawatan Menteri Besar Selangor, beliau telah melakukan terjahan ke pusat pelupusan sampah di Sungai Kertas dan menyerbu lori-lori tanpa permit yang sesuka hati membuang sampah di kawasan itu.

Permulaan yang dilakukannya itu sehingga digelar "Jokowi Malaysia" segera mendapat pujian dan sanjungan banyak pihak, apatah lagi dalam terjahan yang dilakukan itu, Azmin tidak menampakkan beliau berasa geli apabila masuk ke dalam longkang atau memanjat lori sampah yang kotor dan berbau masam itu.

Dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Beruntung dua hari lalu, Azmin sekali lagi melakukan terjahan ke kawasan itu untuk melihat sendiri apa yang berlaku serta mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500,000 untuk mengatasi masalah itu serta RM150,000 lagi sebagai bantuan kepada 120 keluarga mangsa.

Sekali lagi, tindakan pantasnya menyelesaikan masalah rakyat menggamit pujian dan ucapan terima kasih. Ramai pengundi Selangor yang merasakan beliau mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik untuk Selangor.

Namun demikian, di sebalik dua terjahan yang dilakukannya sehingga ini, ramai juga yang mengharapkan beliau tidak sekadar melihat isu sampah dan tanah runtuh saja sebagai sasarannya.

Isu lain yang menjadi kerisauan ramai di Selangor  ialah bercambah dengan meluasnya pusat judi haram, judi internet, pusat hiburan dan pusat maksiat yang berselindung di sebalik nama pusat urut atau refleksologi.

Di kebanyakan bandar sedia ada atau bandar baru, pusat ini bercambah bagaikan cendewan tumbuh selepas hujan. Difahamkan pihak PBT hanya mengeluarkan permit kepada sebahagian kecilnya saja manakala selebihnya adalah tidak berlesen dan dibangunkan secara haram. Walaupun sudah banyak serbuan oleh pihak berkuasa, namun ia tetap tumbuh semula.

Sebenarnya, di sinilah berpuncanya segala macam masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Ia bukan saja melibatkan orang dewasa dan mereka yang sudah berkeluarga, tetapi turut melibatkan golongan remaja dan murid-murid sekolah.

Pertumbuhannya, sama ada yang berlesen atau haram, nyata membimbangkan ramai ibu bapa yang merasakan semakin sukar untuk mengawal ahli keluarga masing-masing daripada terjebak dalam kancah tidak sihat itu.

Berdasarkan laporan daripada setiap PBT, bukanlah sesuatu yang sukar untuk  beliau mengetahui antara  tempat yang berlesen dengan yang diuruskan secara haram. Sesetengah yang berlesen pula tidak mustahil menyelewengkan kebenaran yang diberi demi memperolehi keuntungan yang lebih berganda.

Di sinilah pentingnya Azmin melakukan banyak terjahan untuk menunjukkan seriusnya beliau menangani dan mengawal perkara yang sangat membimbangkan itu.

Kiranya Azmin dapat melakukan terjahan ke pusat judi dan maksiat ini, ia bukan saja menaikkan lagi namanya, bahkan pastinya menggembirakan lebih ramai pengundi dan ibu bapa di negeri Selangor ini.

Dengan pembangunan Selangor yang berkembang pesat, ramai yang mengharapkan Azmin tidak menunggu terlalu lama untuk melakukan terjahan ke tempat-tempat yang memberi lebih kesan buruk kepada masyarakat itu tetapi begitu terbuka perniagaannya.


http://www.sinarharian.com.my/karya/entri-blog/azmin-juga-diminta-terjah-pusat-judi-maksiat-1.326982

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rakan-rakan Blog