Kelantan Di Gondolkan

Klik Untuk Bantah COMANGO

22 June 2014

JPS Terus Tidur & PKB Pusing Lagi

Penduduk Kampung Pindah mahu pembelaan

SEBAHAGIAN daripada penduduk Kampung Pindah memegang kain rentang sebagai tanda bantahan terhadap pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru serta Jabatan Pengairan dan Saliran supaya selesaikan pampasan kepada mangsa-mangsa tanah mendap di Kampung Pindah, Kampung Bharu, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUNAN/MUHD FITRI AZAHAR (PELATIH UNISEL)

KUALA LUMPUR 21 Jun - Nasib malang 22 buah keluarga di Kampung Pindah, Kampung Baru di sini berterusan apabila pampasan yang dijanjikan kerajaan masih belum diterima.
Mereka mendakwa, sehingga kini pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terus berdiam diri tanpa sebarang tindakan lanjut, selain kerja-kerja menstruktur semula kawasan itu masih belum dilaksanakan.
Pada Februari lalu, kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM160 juta bagi kerja-kerja menstruktur semula kawasan Kampung Pindah yang mengalami masalah tanah mendap kira-kira tiga tahun lalu.
Selain itu, penduduk yang berpindah akan diberi pampasan kerana kerajaan telah memperuntukkan lebih RM12 juta bagi tujuan itu selain PKB telah diberi tanggungjawab untuk mengagihkan pampasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pintasan Sungai Bunus, Kampung Pindah, Kampung Baru, Zainal Frederick berkata, pihak JPS perlu tampil membantu serta menjamin keselamatan dan harta benda penduduk yang tinggal di sekitar laluan pintasan palung Sungai Bunus.
Jelasnya, masalah tanah mendap itu sudah tiga tahun berlaku tetapi kehidupan penduduk tersebut berlalu tanpa pembelaan atau sebarang ganti rugi yang sewajarnya daripada pihak berkenaan.
"Kami telah menghantar surat-surat termasuk surat dari­pada peguam untuk berjumpa dengan pihak JPS namun, sehingga kini tidak kesampaian. Isu ini telah berlarutan sejak tiga tahun lalu, tiada pampasan, nilai hartanah di sini juga susut selain keselamatan terancam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, seorang penduduk, Abdul Ghani Mohd. Noor, 50, pula berkata, penduduk mahu mengadakan perbincangan dengan pihak JPS berhubung kerja-kerja pembaikan di situ dan mendakwa palung itu menjadi punca kejadian tanah mendap.
"Kami juga telah menghantar borang mengenai tuntutan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada PKB yang bertindak mengagihkan pampasan tersebut kepada kami, namun tiada sebarang perkhabaran mengenainya.
"Kami tidak kisah jika mereka tiada peruntukan tetapi pampasan berkenaan telah diluluskan kerajaan, seolah-olah PKB cuba memperbodohkan kami sekali gus mengabaikan kebajikan penduduk," jelasnya.
Penduduk, Aishah Zainal Abidin 60, berharap isu tersebut dapat diselesaikan segera demi kesenangan semua pihak termasuk hak penduduk mendapat pembelaan sewajarnya.
"Sudah tiga tahun kami menunggu pampasan dan ganti rugi tetapi tiada. Hidup kami terumbang-ambing dan buat masa ini saya telah berpindah ke penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak yang kurang selesa berbanding kediaman asal," katanya.
Tanah mendap yang berlaku pada 15 April 2011 mengeluarkan air dan pasir sebelum membentuk dua lubang besar sehingga mengakibatkan Jalan Syed Mahadi yang bahagian bawahnya terdapat sungai bawah tanah (Sungai Bonus) mendap serta membentuk dua buah lubang besar.
Masalah itu menyebabkan rumah mereka retak dan beberapa penduduk terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140622/wk_01/Penduduk-Kampung-Pindah-mahu-pembelaan#ixzz35MM7rsSU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rakan-rakan Blog