• Fahmi Fadzil
SHAH ALAM - PKR mempersoalkan tindakan pemimpin BN yang meminta golongan guru kembali memberi sokongan kepada parti perikatan itu pada pilihan raya akan datang.
 
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil mendakwa gesaan itu menunjukkan Umno-BN semakin ketinggalan dalam politik baru di negara ini.
 
"Kenyataan Tengku Adnan tidak lain dan tidak bukan merupakan langkah untuk menjadikan guru-guru ejen propaganda Umno-BN.
 
"Perkembangan itu tidak sihat untuk masa depan pendidikan negara, malah bertentangan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dicanang menterinya," katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini yang meminta warga pendidik itu kembali ke pangkuan BN.
 
Mengulas lanjut, Fahmi mendakwa Umno mengamalkan sikap pilih kasih dengan memberi layanan baik terhadap penjawat awam yang menyokong perjuangan parti pemerintah itu.
 
"Ketidakadilan yang wujud akan bertambah teruk apabila guru-guru yang berpihak kepada Umno-BN mungkin akan menerima layanan yang baik.
 
"Manakala yang berpihak kepada PR atau tidak mahu berpihak pula mungkin ditukar tempat kerja, dilambatkan kenaikan pangkat atau lebih teruk dari itu," dakwanya.