SOLAT WITIR
Ulasan panjang dari http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Solat%20sunat/5.htm
اَلْوِتْرَ(Al-witir) secara bahasa bermaksud jumlah yang ganjil seperti sekali, tiga kali, lima kali dan seterusnya. Ianya seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ
Maksudnya:
Dan Dia (yakni Allah Subhanahu wa Ta’ala) itu ganjil (Tunggal atau Maha Esa) dan mencintai yang ganjil. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Da’waat, no: 6410.
Al-Witir secara syarak bermaksud solat sunat yang dikerjakan di antara solat Isyak hingga munculnya fajar yakni masuknya waktu subuh dan ianya menjadi penutup bagi solat malam. Ianya digelarkan sebagai al-Witir kerana jumlah rakaatnya adalah ganjil seperti 1 rakaat, 3 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan seterusnya. Solat Witir ini tidak boleh dikerjakan dalam jumlah rakaat yang genap.
v DALIL DISYARIATKAN
Solat Witir merupakan solat yang diutamakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggakan baginda tidak pernah meninggalkan perlaksanaannya walaupun ketika bermusafir. Dalil-dalil yang menunjukkan sabitnya anjuran untuk mengerjakan solat Witir ini begitu banyak. Di antaranya adalah riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا.
Maksudnya:
Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kalian pada malam hari. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Witr, no: 998.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga menekankan perlaksanaan solat Witir ini sebagaimana pesanannya kepada Abu Darda’radhiallahu’ anh yang berkata:
أَوْصَانِي حَبِيبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ لَنْ أَدَعَهُنَّ مَا عِشْتُ
بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَصَلاَةِ الضُّحَى وَبِأَنْ لاَ أَنَامَ حَتَّى أُوتِرَ.
Maksudnya:
Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan solat Dhuha dan tidak tidur sebelum mengerjakan solat witir. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, KitabSholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 722.
Berkenaan hukum melaksanakan solat Witir ini jumhur ulamak daripada para sahabat, tabi’in dan generasi setelahtabi’in berpendapat ianya adalah sunat mu’akkadah. Sebagaimana yang kita sedia maklum ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus Mu’adz ke Yaman, baginda bersabda:
ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ
فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ...
Maksudnya:
Serulah kepada mereka (yakni penduduk Yaman) kalimah syahadah bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah pesuruh Allah dan apabila mereka telah taat atas perkara ini maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima waktu sehari semalam… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Zakaah, no: 1395.
Menerusi hadis ini dapat kita simpulkan bahawa solat yang diwajibkan ke atas umat Islam hanyalah solat lima waktu sehari semalam. Maka solat-solat selain itu termasuk solat Witir ini hanya termasuk dalam perkara tathawwu’. Hukum ini juga adalah bersandarkan sebuah riwayat daripada ‘Ali radhiallahu’ anh:
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ الْوِتْرُ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمْ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya:
Solat Witir tidaklah wajib seperti solat yang difardukan ke atas kamu, tetapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 415