Kelantan Di Gondolkan

Klik Untuk Bantah COMANGO

11 December 2013

Sejarah Perpindahan Kiblat Dari Masjidil Aqsa Ke Kaabah

PERISTIWA PERALIHAN QIBLAT( Al-Baqarah:142-152)

 

Peralihan qiblat telah berlaku sebanyak dua kali.

     1.    Peralihan dari Ka’abah ke Masjidil Aqsa
     2.    Peralihan semula dari Masjidil Aqsa ke Ka’abah.
Peristiwa ini berlaku pada zaman Madinah. Merujuk kepada Fi Zilalil Qur’an, menyatakan tiada riwayat yang qat’i mengenai peristiwa peralihan qiblat dari Ka’abah ke Masjidil Aqsa dan tiada satu ayat yang menerangkan sejarah peralihan ini secara terperinci.
Namun daripada riwayat-riwayat yang ada, dapatlah dibuat kesimpulan secara umum; selepas Hijrah kaum Muslimin mengarahkan qiblat mereka ke Baitul Maqdis dengan perintah Ilahi kepada Rasulullah saw. Perintah ini kuat dipercayai bukanlah perintah menerusi al-Qur’an. Kemudian ayat 144 dari surah al-Baqarah telah memansukhkan perintah ini.
Setengah riwayat menyatakan perubahan ini adalah hasil pujukan segolongan Kaum Yahudi kepada Rasulullah saw dengan alasan bahawa kota itu adalah suatu tanah suci yang telah disediakan oleh Allah bagi tempat kediaman para Rasul-Nya; “Maka jika engkau itu benar-benar seorang Rasul Tuhan, wahai Muhammad, hendaklah engkau berdiam di tanah suci itu, menurut jejak para Rasul Tuhan yang terdahulu daripada engkau.”
Sebelum kelahiran Rasulullah saw, nabi-nabi tinggal di rumah ibadat di Baitul-Maqdis.
Justeru itu, Rasulullah saw hanya menghadap mukanya ke Baitul-Maqdis ketika solat dengan keizinan Allah swt bebanding terus tinggal di sana.

Keadaan awal Madinah(Yastrib)
Sebelum kedatangan Rasulullah saw, Madinah dan penduduk di sekitarnya terutama dua kaum majoriti di situ iaitu kaum Aus dan kaum Khazraj menguasai perkampungan Madinah. Malangnya mereka  sering bertelingkah dan berperang antara satu sama. Ada riwayat menyatakan, walaupun pertelingkahan mereka berlangsung lebih kurang 120 tahun lamanya, namun tiada penyelesaian.
Kaum Yahudi pula terbahagi kepada tiga golongan iaitu Banu Quraidhah, Banu Nadhir dan Banu Qainuqa’. Walaupun pada peringkat awal mereka hanya menumpang di Madinah, oleh kerana kecerdikan dan kekayaan harta, mereka dapat mempengaruhi penduduk Madinah.
Kaum Khazraj telah mendapat bantuan daripada kaum Yahudi Banu Nadhir dan Qainuqa’. Manakala kaum Aus mendapat bantuan daripada kaum Yahudi Banu Quraidhah.  
Selepas kedatangan Islam, kaum Aus dan Khazraj mula bersatu. Kepimpinan Islam mula berkembang luas dan sukar dibendung lagi. Oleh itu, ketiga-tiga golongan kaum Yahudi mula bersatu dan cuba menghalangi pengaruh Islam yang cepat tersebar. Menyedari tindakan orang-orang Yahudi ini, Rasulullah saw membuat satu perjanjian damai dengan mereka supaya dapat sama-sama hidup dengan aman walaupun berlainan pegangan.
Walaupun perjanjian itu disambut baik, tetapi secara diam-diam kaum Yahudi dan kaum munafiq memusuhi Islam. Kaum Yahudi memusuhi Islam kerana kedengkian. Mereka bimbang tipu daya mereka dalam beragama akan terbongkar. Mereka bimbang pengaruh dan kependetaan mereka lenyap. Lalu  mereka mengejek dan mencerca Rasulullah saw dan pengikut baginda. Malah mereka sanggup mengubah kitab Taurat untuk kepentingan hujjah mereka.
Tambahan lagi,disebalik perdamaian yang diterima oleh kaum Yahudi, mereka sebenarnya berhasrat kaum Muslimin dapat bersama mereka menentang kerajaan Nasrani yang telah berkuasa di Baitul-Maqdis dan telah menghalau mereka dari kota suci itu. Namun sia-sia, malah kerajaan Islam telah mendahului pengaruhnya berbanding kerajaan Nasrani. Oleh itu mereka telah melanggar perjanjian damai ini. Sebaliknya memusuhi Islam secara terang-terangan dengan apa cara sekalipun demi mengembalikan aqidah orang Islam kepada agama mereka.
Manakala kaum munafiq  dari golongan Khazraj pula memusuhi Islam kerana sakit hati disebabkan tidak dapat menjadi pemimpin utama di Madinah. Islam tampak menyerlah dan mereka mula ditinggalkan.
Dalam pada permasalahan kaum Yahudi dan kaum Munafiq berkecamuk membebani Rasulullah saw, datang pula kumpulan Nasrani Najran ke Madinah untuk mengambil kesempatan meluaskan pengaruh mereka di Jazirah Arab. Mereka telah datang kepada Nabi saw seramai 60 orang dengan berpakaian mewah dan membawa hadiah-hadiah seperti karpet berbulu dari Yamen. Mereka telah mempersoalkan ketuhanan Nabi ‘Isa a.s. Masing-masing mempertahankan kepercayaan mereka bahawa Nabi ‘Isa a.s itu putera Tuhan dan terdapat tiga Tuhan.

Perubahan qiblat dan fitnah yang dihadapi.


Persoalan mengadap qiblat kearah Baitul-Maqdis, iaitu qiblat bagi kaum Yahudi dan Nasara telah menjadi punca alasan kepada kaum Yahudi untuk menolak kemasukan mereka ke dalam agama Islam kerana orang Islam telah mengiktiraf qiblat mereka. Ini menunjukkan bahawa agama mereka adalah benar. Qiblat mereka adalah yang sebenar dan merekalah yang asal. Orang Islam sepatutnya berpegang kepada agama mereka. Inilah hujjah mereka untuk meragu-ragukan pengikut Nabi Muhammad saw dan penduduk sekitarnya.
Bagi kaum Muslimin pula, perubahan ini adalah suatu yang sangat sukar bagi mereka. Sejak dilahirkan mereka memuliakan Baitullah dan berqiblatkannya. Ditambah lagi dengan hujjah kaum Yahudi yang meragukan itu.
Oleh yang demikian, Rasulullah saw seringkali menengadah mukanya ke langit bertawajjuh kepada Allah tanpa sepatah kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah swt dan menunggu arahan-Nya yang menyukakan baginda.
Kemudian turunlah ayat al-Baqarah:144
“Sesungguhnya Kami melihat engkau kerapkali menengadah mukamu ke langit, dan sesungguhnya Kami berkenan memalingkanmu kearah qiblat yang disukaimu. Oleh itu hadapilah mukamu kearah Masjidil-Haram, dan di mana sahaja kamu berada, maka halakanlah muka kamu ke arahnya.”
Peristiwa ini berlaku di dalam bulan yang ke 16 atau ke 17 Hijrah. Menurut riwayat yang masyhur, ketika itu Nabi saw sedang mengerjakan solat ‘Asar bersama sahabat-sahabatnya. Dan ketika itu juga Nabi saw memalingkan mukanya ke Baitullah. Sekalian sahabat-sahabat yang menjadi ma’mum ketika itupun lalu ikut apa yang dilakukan oleh Nabi saw.
Sekali lagi kaum Yahudi di Madinah, kaum Munafiqun dan kaum Musyrikin di Makkah gempar dan menabur fitnah. Kaum Yahudi sebenarnya terasa terkilan dengan pertukaran semula qiblat ini kerana tiada lagi hujjah kukuh yang selama ini menjadi alasan mereka dalam menunjukkan keangkuhan dan kesombongan mereka. Pendeta Yahudi telah datang berjumpa dengan Rasulullah saw seraya berkata;
“Ya Muhammad, mengapa engkau sekarang pindah qiblat yang telah engkau hadapi, padahal engkau katanya seorang nabi yang mengikut agama Nabi Ibrahim? Tetapi sekarang terbukti menyalahi qiblat Nabi Ibrahim dan nabi-nabi dari Bani Israil dahulu, maka dari itu kembalilah menghadap ke Baitul-Maqdis, nanti kita akan mengikut dan membenarkan seruanmu.”
Kaum Musyrikin di Makkah pula berkata;
“Muhammad ini memang selamanya tidak mempunyai pendirian yang tetap. Nanti dia kembali semula berqiblatkan Baitul-Maqdis. Siapa yang ikut dia adalah orang yang bodoh.”
Kaum Munafiqun berkata;
“Kalau qiblat yang dihadapi oleh Muhammad yang dulu itu benar, maka qiblat yang sekarang ini salah. Jika qiblat yang dahulu itu salah, maka qiblat yang sekarang ini yang benar. Tetapi mengapa dia tidak menyatakan yang sebenarnya kepada kita?”
Kaum Yahudi menimbulkan lagi keraguan kepada kaum Muslimin dengan kata-kata;
“ Jika menghala ke qiblat Baitul-Maqdis tidak itu tidak sah, maka solat kamu di sepanjang masa ini tentulah sia-sia sahaja. Dan jika penghalaan ke qiblat Baitul-Maqdis itu benar, maka penghalaan yang baru ke Masjidil-Haram itu adalah tidak benar dan ia akan menghilangkan pahala segala solat kamu yang menghadap ke arahnya.”
Mereka berkata lagi; “ Pemansukhan dan perubahan perintah-perintah atau ayat-ayat itu tidak sekali-kali terbit dari Allah. Inilah bukti bahawa Muhammad tidak menerima wahyu dari Allah.”
Penghinaan semua ini dijawab oleh Allah swt dengan berfirman;
“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus. (142) Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayat” –QS al-Baqarah:142-143
Kemudian, pada suatu ketika Nabi saw mendapat pertanyaan dari sebahagian sahabat-sahabatnya;
“Ya Rasulullah bagaimana hukum mereka(sahabat-sahabat) yang telah meninggal lebih dahulu sebelum terjadi pindah semula qiblat ini? Apakah amal mereka yang sudah-sudah diterima oleh Allah?”
Pada waktu itu Rasulullah saw tidak memberi jawapan atas pertanyaan mereka tadi, kemudian Allah swt menurunkan wahyu-Nya;
“Dan tidaklah Allah akan menyia-nyiakan iman kamu, kerana sesungguhnya Allah itu pada manusia Penyayang lagi Pengasih.” – QS al-Baqarah:143

Pengajaran daripada peristiwa ini:
1.    Peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang besar di dalam sejarah pertumbuhan jama’ah Muslimin dan ia mempunyai kesan yang besar di dalam kehidupan mereka.

2.    Arah atau tempat menghadap untuk solat itu hanyalah lambang-lambang kelainan dan pengkhususan. Kelainan dan khusus dalam pemikiran, kefahaman, sahsiah, matlamat , minat, cita-cita dan identiti.

3.    Allah swt inginkan Baitullah sebagai rumah suci Allah, bukan rumah suci bagi orang-orang Arab yang ditokok tambah sifat dan cirinya. Maka berlaku penyucian hati dan matlamat bagi kaum Muslimin dengan peristiwa ini.

4.    Perubahan qiblat yang pertama, dari Ka’abah ke Masjidil-Aqsa adalah suatu pendidikan yang ditunjukkan oleh sepotong ayat;

“    (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya)” – QS al-Baqarah:143  

Orang Arab sentiasa memuliakan Baitullah di zaman Jahiliyah. Ia adalah lambang kemuliaan bangsa mereka. Dengan peristiwa ini, Allah swt ingin membersihkan hati mereka supaya bulat kepada Allah semata-mata. Bersih dari kemegahan perkauman dan semangat fanatik bangsa. Menghilangkan penyakit asobiyah Jahiliyah. 

5.    Apabila perintah kembali berqiblatkan Baitullah, ini mematahkan hujjah kaum Yahudi tentang kebenaran mereka. Umat Musliminlah yang menjadi pewaris janji Allah dengan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.

6.    Peristiwa ini sebagai peringatan kepada Rasulullah saw dan umat Islam keseluruhannya supaya jangan sekali-kali mengikuti kemauan kaum Yahudi dan Nasara dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan pemikiran mereka yang menarik. Bahkan tidak usah menaruh harapan kepada mereka untuk beriman dan mengikut agama Islam. Sesungguhnya mereka sudah mengakui kebenaran Nabi Muhammad saw tetapi memang sengaja mereka ingkar.

“Dan demi jika engkau datangkan pada orang-orang yang telah diberi Kitab dengan tiap-tiap keterangan, niscaya mereka tidak juga mengikut qiblat engkau, dan engkau pun tidak akan mengikut qiblat mereka; dan tidak pula sebahagian mereka akan mengikut qiblat sebahagian yang lain. Dan demi jika engkau mengikut kemauan mereka itu, sesudah datang kepada engkau ilmu pengetahuan, sesungguhnya engkau seketika itu termasuk daripada golongan orang-orang yang menganiaya.” – QS al-Baqarah:145

7.    Kaum Muslimin mestilah sentiasa berwaspada terhadap gerak-geri dan langkah-langkah mereka terhadap kelicikan mereka memutar belitkan ayat-ayat Allah swt. Mereka mempunyai sifat-sifat munafiq.

“Apakah kamu berangan-angan bahawa mereka akan beriman kepada kamu, sedangkan segolongan dari mereka telah pun mendengar kalam Allah kemudian mereka ubahkannya setelah mereka memahaminya, sedangkan mereka tahu.” – QS al-Baqarah:75

8.    Dakwah Islam bukanlah dakwah fanatik. Sebaliknya ia memperjuangkan kesatuan umat di atas asas Islam semata-mata untuk kebaikan dan kebenaran.

9.    Umat Islam mestilah menunjukkan identiti sendiri. Qiblat yang tersendiri, sahsiah yang tersendiri, mempunyai keistimewaan dan tidak perlu mematuhi sesiapa kecuali kepada Allah swt yang telah memilih mereka sebagai khalifah.

“Selamanya kaum Yahudi dan kaum Nasrani tidak akan berpuas hati sehingga engkau mengikut agama mereka. Katakanlah; Sesungguhnya hidayat Allah itulah hidayat yang sebenar. Jika engkau mengikut kehendak nafsu mereka setelah datang kepadamu ilmu yang sebenar, maka tiada lagi pelindung dan penolong yang dapat menyelamatkan engkau dari ‘azab Allah.” – QS al-Baqarah:120

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rakan-rakan Blog