• 'Ayah sakit, kami tak ada duit'Adnan (kiri) bersama Zainul ketika ditemui di rumah sewanya di Flat Perdana Paroi, semalam.
 1 / 1 
SEREMBAN – “Saya ada buku, tapi saya tak boleh baca sebab tak sekolah,” kata Zainul Ariffin Adnan, 8. Zainul yang tinggal di Flat Perdana Paroi, di sini hidup dalam serba kekurangan bersama bapanya, Adnan Ismail, 56, yang menderita akibat menghidap pelbagai penyakit sejak empat tahun lalu.

Malah, kanak-kanak malang itu juga hanya berpeluang mengikuti pendidikan pra-sekolah kerana bapanya tidak lagi mampu bekerja bagi menyara mereka dua beranak, selain ibunya sudah meninggal dunia sejak empat tahun lalu akibat kanser payudara.

“Saya nak sangat pergi sekolah sebab seronok boleh dapat kawan-kawan. Tapi ayah sakit dan kami tiada duit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini  semalam.

Sementara itu, Adnan berkata, dia sedih mengenangkan masa depan anaknya itu jika berterusan tidak mendapat pendidikan.

Menurutnya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mendapatkan bantuan, namun semuanya tidak berhasil.

“Saya pernah fikir lebih baik saya hidup gelandangan asalkan saya tidak menyusahkan sesiapa disebabkan kesusahan hidup yang saya tanggung.

“Saya cuma kasihankan Zainul kerana dia tidak pergi sekolah. Dia perlu belajar kerana jika tidak kehidupan dia juga akan susah seperti saya,” katanya.

Menurut Adnan, sebelum ini dia pernah bekerja sebagai jurubahasa di Mahkamah Seremban, namun terpaksa berhenti kerja dan memulakan perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan selepas mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham isterinya yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia.

Bagaimanapun, pada 2009, dia terpaksa menjual kedainya itu kerana perlu menggunakan wang untuk menghantar jenazah isterinya pulang ke Indonesia.

“Sejak itu kehidupan saya mula susah serta keadaan kesihatan mula tidak menentu. Sebelum ini pun kami tiada tempat berteduh. Cuma atas ihsan Menteri Besar, kami diberi menyewa di flat ini sejak tujuh bulan lalu.

“Tapi duit sewa sudah tertunggak RM750 dan saya pun tidak tahu mahu membayarnya macam mana,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Abdullah Hanapi ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dan menyemak status permohonan bantuan Adnan.

“Jika borang permohonan dihantarnya berkemungkinan ada kriteria maklumat tidak lengkap, saya nasihatkan kepadanya agar pergi ke pejabat JKM untuk menyemak permohonannya semula,” katanya.