Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama Solidariti Mahasiswa (SMM) dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA, dengan ini mengumumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk naik ke Pentas Perdana Anti-TPPA yang akan berlangsung pada malam 10 Oktober ini di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru.

Telah diusahakan satu pentas perdana mempertahan kedaulatan negara menolak perjanjian TPPA menjemput dua tokoh ternama untuk bersama sepentas. 

Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad diundang ekoran keduanya mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi perdagangan antarabangsa selain punyai hubungan agak istimewa dengan Amerika yang menjadi dalang TPPA.

Justeru itu, pentas perdana ini harus menjadi ruang dan peluang yang penting untuk Anwar dan Mahathir menjelaskan segala persoalan khususnya mengenai TPPA yang penuh agenda tersembunyi. 

Anwar telah menyatakan kesediaan manakala Tun Mahathir yang dilihat tegas menentang perjanjian TPPA masih belum memberikan jawapan positif.

Pihak kami masih menunggu jawapan dari pihak Mahathir dan optimis bahawa beliau akan mempertimbangkan kehadirannya di pentas perdana ini. 

Anwar telah buktikan betapa segala persengketaan lalu wajar diketepikan demi memastikan tanah air ini tidak dijual melalui skim TPPA.

SAMM yakin kedua-dua tokoh yang mempunyai pengaruh tersendiri ini mampu disatukan di atas pentas yang sama dengan masing-masing mengenepikan permusuhan politik domestik seterusnya merealisasikan aspirasi rakyat demi masa depan negara.