KUALA LUMPUR - Beberapa artis popular dan veteran akan turun padang untuk membantu calon BN pada PRK Dun Sungai Limau melalui program Ziarah Syukur.

Pengerusi penganjur,  Datuk Seri Zaienal Abdidin Omar berkata, ini adalah lanjutan daripada program yang dijalankan pada PRU13 lalu yang membantu menawan kembali Kedah dari tangan pembangkang.

Beliau berkata, kesemua Dun dan Parlimen yang menjadi lokasi program  berjaya dimenangi BN termasuk kawasan yang menjadi kubu kuat pembangkang seperti Parlimen Pendang dan Kulim Bandar Baharu.

"Ziarah Syukur yang dianggotai oleh ramai artis dari pelbagai bidang dan lapisan usia sudah menjelajah ke beberapa kawasan di negeri Kedah.

"Ia telah berjaya menarik ribuan rakyat di setiap lokasi sepertimana  yang dilaporkan oleh banyak media. Antara artis yang terlibat ialah  pelawak terkenal Datuk Aziz Satar, pelakon Datuk Mustapha Maarof, Norlia Ghani, Sheera, Abon dan ramai lagi," katanya.

Beliau berkata, program tersebut  membawa mesej 'bersyukur' kepada ALLAH SWT, ibu bapa, guru, pemimpin dan negara tercinta yang mana dapat dikongsi bersama dengan rakyat jelata.

"Objektif program ini  mahu pengundi-pengundi bersyukur dengan nikmat pembangunan yang telah dikecapi sepanjang pemerintahan BN sehingga membawa negara ke tahap sekarang," katanya.

Selain Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, katanya, program tersebut  juga akan bekerjasama dengan beberapa pihak lain  yang  bakal turut serta  berkempen selama tempoh kempen PRK tersebut bermula dari 24 Oktober ini.


http://www.sinarharian.com.my/artis-turun-bantu-kempen-prk-1.213458