Mohd Asri Mohd Asri (dua, kiri) dan barisan panel wacana 'Nama ALLAH eksklusif atau tidak: Hukum asal, dakwah dan siasah' anjuran Mysuara.net, Selasa lalu.
KUALA LUMPUR - Penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Injil boleh dijadikan umpan untuk menjinakkan orang Melayu mendekati agama Kristian.

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr Yusri Mohamad berkata, adalah bahaya membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam kitab Injil.

“Perkara pertama adalah mengkristianisasikan, ia itu mereka menghilangkan rasa fobia atau menjadikan orang Melayu Islam mesra dan tidak terlalu rasa takut untuk mendekati agama Kristian dengan cara ini.

“Kalau kita kaji teks-teks perbahasan Kristian ini, mereka mengakui ia adalah satu daripada pendekatan paling berkesan untuk mengkristiankan orang Melayu. Itu yang merbahaya. Di Indonesia juga contohnya, mereka merasakan mereka telah sedikit sebanyak berjaya dengan pendekatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wacana, 'Nama ALLAH eksklusif atau tidak: Hukum asal, dakwah dan siasah' anjuran Mysuara.net yang diadakan di sini, Selasa lalu.

Dua panelis yang turut diundang dalam wacana itu ialah pensyarah Pusat Kajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun (Casis), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Samad. Bekas mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjadi moderator.

Menurut Yusri, sekiranya kalimah ALLAH dibenarkan digunakan dalam kitab Injil, negara ini seolah-olah membuka ruang melihat kepada kehancuran Islam.

“Ini bukan ijtihad siasi, ini ijtihad agama. Kalau kita yakin jika ada sesuatu yang bahaya dalam pendekatan atau dasar, kita buka (ruang kepada) orang kita untuk berjinak-jinak dengan agama lain. Kita tahu di negara ini ada virus Kristianisasi di mana-mana.

“Penyalahgunaan kalimah ALLAH ini bukan pada tempatnya, bukan pada maknanya, tapi kita menjurus kepada realiti Malaysia.

“Betul ia eksklusif, tapi dalam erti kata lain, kita sedang fokus kepada melaksanakan ajaran Islam pada konteks yang khusus kerana kita tahu hukum boleh berubah mengikut tempat, malah daripada seorang kepada yang lain, berdasarkan kepentingan sebenar sesuatu tempat.

“Jadi saya selari dengan majlis fatwa yang tidak membenarkannya,” katanya.