• AsyrafAsyraf
 1 / 4 
IPOH  -  Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) mendedahkan modus operandi golongan Syiah menyebarkan buku berkaitan fahaman itu di negeri ini dengan menggunakan kiriman pos.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaipk, Asyraf Ismail berkata, buku-buku itu dipos kepada  imam-imam masjid di seluruh Perak.

“Kita telah kesan perbuatan ini beberapa tahun yang lalu dan minta imam-imam masjid yang menerima buku berkenaan supaya menghantar kepada Jaipk untuk dilupuskan.

“Selain itu, penyebaran Syiah juga dibuat melalui tulisan novel dan buku-buku sejarah dengan menyelewengkan fakta terhadap khalifah al-Rashidin dan sahabat-sahabat nabi,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga penyebaran yang dibuat secara individu kepada individu lain dengan menceritakan tentang ahlul bait, keagungan imam mereka dan kemudahan-kemudahan beribadat di dalam Syiah.

Antara judul buku diedarkan kepada orang ramai seperti Akhirnya Ku Temui Kebenaran; Inilah Khulafa’ Ar-Rashidin Rasul...; Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Yang Sebenar dan Kewajipan Setiap Muslim Mentaati Kepimpinan Yang Dilantik ALLAH dan Rasul Demi Perpaduan dan Kejayaan Dunia dan Akhirat.

Sinar Harian pada Ogos 2011 pernah mendedahkan buku-buku tersebut diterima oleh beberapa imam masjid di sekitar Taiping.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Taiping, Mat Isa Adam yang memberitahu banyak perkara meragukan dan bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah ditulis dalam buku berkenaan.


Perak adakan dialog awal

Perak merupakan negeri terawal mengadakan dialog di antara pengikut Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jaipk selepas fatwa mengenai pengharaman berkenaan dibuat.


Asyraf menjelaskan, dialog yang pernah dibuat sebelum ini pada 8 Disember 2011 diadakan di Pejabat Agama Daerah Bagan Serai.

Katanya, dialog yang dibuat itu bertujuan merungkai persoalan timbul berkaitan perbezaan ketara antara pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan fahaman Syiah.

“Kita buat dialog ini kerana mahu pencerahan daripada pengikut Syiah tentang fahaman mereka yang begitu bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Bagaimanapun ketika dialog, kebanyakan soalan yang ditimbulkan banyak tidak dapat dijawab dan mengelak untuk dijawab,” katanya.

Menurutnya, perkara paling jelas yang gagal dirungkai oleh Syiah adalah soal usul iaitu Rukun Islam kerana dalam Syiah, Imamiah dimasukkan sebagai rukun kelima sedangkan bercanggah dengan Rukun Islam sebenar.

Asyraf berkata, setelah tamat sesi dialog, pihaknya memaklumkan kepada wakil Syiah itu bahawa fatwa pengharaman ajaran dan fahaman Syiah telah dikeluarkan serta Jaipk akan ambil tindakan mengikut undang-undang terhadap perkara itu.

Pada sesi dialog berkenaan, Syiah diwakili oleh dua individu iaitu Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz dan wakil Syiah Perak, Dr Azmi Zainun Abidin, manakala Jaipk diwakili Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaipk, Mohd Azam Hamzah, Asyraf sendiri, Ustaz Mohd Nasim Abdul Raof serta Ustaz Mohd Aizam Mas’ud.

Beliau turut mendedahkan ajaran dan fahaman Syiah berjaya disebarkan memandangkan mereka mempunyai dana yang diperoleh melalui perniagaan.

Menurut Asyraf, perniagaan dibuat penganut Syiah melalui jualan makanan dan perkhidmatan kesihatan biasanya sukar untuk dikenal pasti.

Beliau berkata, pihaknya masih dalam siasatan dan penyelidikan tentang beberapa premis dan produk yang dipercayai membiayai penyebaran Syiah di Perak.

“Biasanya mereka akan guna istilah yang berkait rapat dengan Syiah seperti Ahlul Bait, Madinatul Ilmi dan sebagainya,” jelasnya.


Tiada perkampungan Syiah

Berdasarkan siasatan dan risikan yang dibuat, tiada perkampungan Syiah yang wujud di Perak, bagaimanapun terdapat tiga Hauzah atau tempat aktiviti Syiah dikenal pasti di negeri ini iaitu di Ipoh, Kamunting dan Tanjung Malim dalam kumpulan yang kecil.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesyaki seorang pengamal perubatan homeopati di Utara Perak menjadi salah seorang individu menyebarkan Syiah di Perak.

“Orang ramai diminta berhati-hati menerima apa jua maklumat bercanggah dengan ajaran Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sebarang kemusykilan atau persoalan boleh berhubung terus dengan Jaipk dan Pejabat Agama Daerah,” katanya.

Menurut Asyraf, sebagai langkah pencegahan, pihak Jaipk terus mengadakan ceramah dan seminar mengenai bahaya Syiah selain menerbitkan risalah dan poster tentang Syiah.


Warta pada 2004

Fatwa pengharaman ajaran dan fahaman Syiah di Perak telah dikeluarkan pada 2011 manakala pewartaan dibuat pada 4 Januari tahun 2012 di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 (Enakmen 4 tahun 2004).

Dari segi penguatkuasaan, penyebaran ajaran dan fahaman Syiah boleh siasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah 2004 di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 9, Seksyen 14 dan Seksyen 16.