• Hasan MalekHasan Malek
 1 / 1 
KULAIJAYA - Anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Hasan Malek meminta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng agar tidak mengalih tumpuan anggota parti itu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penyelewengan dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Beliau berkata Lim perlu mengakui kesalahan sendiri iaitu gagal menjalankan tanggungjawab kerana ramai anggota DAP membuat aduan terhadapnya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Lim jangan cuba hipokrit. Jangan salahkan Ahmad Zahid sebab ramai anggota DAP sendiri yang membuat aduan kepada ROS.
"Mereka dikatakan mewakili 1,300 perwakilan yang tidak dijemput hadir pada pemilihan CEC. Beliau sepatutnya menyalahkan Father Augustus Chen kerana membongkar kehadiran 547 perwakilan haram," katanya kepada pemberita selepas pelancaran alat timbang bagi kegunaan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hari ini.
Baru-baru ini, Lim membidas Ahmad Zahid yang meminta DAP mengadakan semula pemilihan parti kerana didakwa bersifat dendam dan tidak rasional.
Lim mempersoal tindakan Ahmad Zahid yang meminta DAP mengadakan semula pemilihan CEC sedangkan ROS belum mengeluarkan sebarang arahan kepada parti itu. - Bernama