BN pertahan kerusi Dun Kuala Besut
Terpancar wajah ceria Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman selepas keputusan Pilihan Raya Kecil Besut diumumkan. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
BESUT - [Dikemaskini] Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang berlangsung di sembilan pusat mengundi dimenangi oleh calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan 2, 592 undi.

Beliau mengalahkan calon Pas, Azlan@Endut Yusof, seorang ahli perniagaan dan calon tempatan yang dikenali ramai sebagai Che Long.

Pengarah Pilihan Raya, A Rahim Jusoh mengumumkan kemenangan calon BN itu kira-kira jam 10 malam di Dewan Majlis Daerah Besut, di sini.

"Tengku Zaihan telah memperolehi 8, 288 dan Che Long 5, 696," katanya.

Sebelum ini calon BN, Dr A Rahman Mokhtar memenangi kerusi itu dengan majoriti 2, 434 undi mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail pada PRU13.

Dalam pada itu, Pengarah PRK Dun Kuala Besut, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan, Datuk Ahmad Maslan, ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah PRK, Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut hadir ke pusat pengiraan undi jam 9.58 malam.

Bagaimanapun calon Pas, Che Long tidak kelihatan pada sesi itu.