Liang Teck Meng
Liang Teck Meng











KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng hari ini mendesak kerajaan supaya menyiasat maklumat kewujudan 20 akaun di luar negara yang kononnya milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Teck Meng berkata, tindakan itu penting untuk mengetahui sejauh mana kebenaran maklumat yang didedahkan di internet dan kemungkinan wujud campur tangan pihak ketiga dalam politik negara.
"Saya mahu kerajaan menyiasat apa jua yang disebarkan di internet tentang wujudnya 20 akaun di luar itu.
"Sekiranya bukti wujud untuk mengaitkan orang yang disabitkan kesalahan itu, kerajaan hendaklah menghukum individu terbabit dengan tegas sebagai pengkhianat negara.
"Setakat ini, tidak ada mana-mana pihak pun yang dapat sahkan kebenaran itu, kecuali kita menggesa kerajaan menjalankan siasatan, baru kita dapat satu gambaran dan jawapan yang konkrit," katanya kepada Sinar Harian Online yang ditemui di pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakannya yang enggan memohon maaf berhubung dakwaan pemilikan 20 akaun bank luar negara oleh Anwar dengan jumlahnya mencecah AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD49 juta (RM123 juta).
Maklumat itu dakwanya diambil dari laman Wikileaks.
Jelasnya, 20 akaun tersebut masing-masing terdapat di bank-bank di Israel, Amerika Syarikat, Singapura serta China.
Kata beliau, setiap akaun mempunyai maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.
PR semalam mengemukakan usul supaya Teng Meng dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran kenyataan itu. 
Mengulas lanjut, Teck Meng menyerahkan perihal tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membuat keputusan.
"Sebenarnya saya tidak akan bagi apa-apa komen, kerana Tan Sri Speaker sudah berkata bahawa beliau akan buat keputusan kemudian.
"Saya tidak akan tarik balik memandangkan itu adalah isu yang cukup serius dan penting demi kedaulatan dan keselamatan negara.
"Saya mahu kerajaan menyiasat betul-betul segalanya apa yang tersebar dalam internet sama ada betul ataupun tidak," tegasnya.