Chua Soi Lek
Chua Soi Lek
KUALA LUMPUR - Penahanan seorang wanita yang dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook harus menjadi satupengajaran bahawa kebebasan bersuara perlu diiringi tanggungjawab tertentu, dan ia sepatutnya tidak disalah guna.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata Internet mewakili duniatanpa sempadan, namun orang ramai harus ingat bahawa kita bukan berada dalam  persekitaran tanpa undang-undang.
Beliau berkata terdapat banyak kes di Malaysia dan negara lain yang menyaksikan netizen atau pengguna Internet didakwa kerana memfitnah ataumenghasut berikutan tuduhan liar serta penghinaan yang mereka lakukan di Internet.
"Malah Singapura dan Amerika Syarikat kini mengkaji beberapa bentuk peraturan bagi membendung penyalahgunaan media sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Chua berkata netizen juga tidak boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab yang berhasrat menimbulkan kebencian serta menggugat keamanan dan keharmonian negara demi kepentingan politik dan diri mereka sendiri.
"Terdapat terlalu banyak pembohongan, kebencian serta maklumat palsu di media sosial namun malangnya, ramai orang mempercayainya," katanya.
Dr Chua berkata perpaduan kaum dan keharmonian agama di negara ini bukan diperoleh secara automatik atau mudah, justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing bagi melindungi, bukan memusnahkannya.
Beliau juga berkata hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus disalah guna pembangkang demi mencapai matlamat politik mereka.
"Malaysia adalah sebuah negara nomokrasi atau berpaksikan undang-undang.
Netizen sepatutnya berfikir dua kali sebelum menjerumuskan diri mereka dalam masalah kerana kita masing-masing bertanggungjawab atas perbuatan sendiri," katanya.
Wanita berusia 32 tahun itu ditahan di Taman Nirwana pada 9.30 pagi semalam.
Dia didakwa menyiarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam akaun Facebook miliknya. - Bernama