Kelantan Di Gondolkan

Klik Untuk Bantah COMANGO

19 June 2013

Sebarkan Untuk Tindakan : Jangan Zalimi Fakir Miskin

MASALAH BIROKRASI PUSAT ZAKAT KEMBALI KEDENGARAN... ZAKAT NI HARTA PUSAKA TOK NENEK KE?

Friday, June 14, 2013
Umat Islam seharusnya tidak berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan ekonomi memandangkan Allah Taala sendiri telah menciptakan sistem yang sangat unik menerusi kewajipan pembayaran zakat. Kewajipan bermakna, setiap umat Islam wajib mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan, harta mahupun emas perak dan hasil pertanian untuk diagih-agihkan kepada 8 asnaf yang telah dinyatakan secara terang dan bukan bersifat mutasyabihat.

Namun di sebaliknya cekapnya sistem pungutan zakat, pembahagian zakat yang melibatkan pihak baitulmal negeri pula amat daif dan terlalu banyak kerenah birokrasinya. Sehinggakan terpaksa pula ditahkikkan menerusi fatwa bagi memenuhi keperluan 8 asnaf yang telah dinyatakan.

Dari tahun demi tahun, masalah umat Islam yang memerlukan bantuan, kerap kali ditimbulkan dan didedahkan oleh media. Secara tidak langsung dari segi persepsinya, umat Islam merupakan umat yang paling daif dan sentiasa terpinggir daripada sebarang bantuan.

Walhal Allah Taala telah memberikan keistimewaan yang luar biasa kepada umat Islam menerusi sistem zakat.

Masalah sebenar sistem zakat di negara ini adalah pengagihan. Dan sehingga kini, masalah tersebut tidak pernah diselesaikan oleh pihak berkuasa dengan kaedah sebaik-baiknya.

Berdasarkan pengalaman penulis, bantuan yang dipohon dari pusat zakat untuk golongan fakir miskin, tidaklah semudah sepertimana yang diterangkan oleh Allah Taala dan diajarkan oleh Nabi s.a.w. Sebaliknya pusat zakat menerusi pegawai-pegawai yang diamanahkan, meletakkan pelbagai syarat yang aneh-aneh untuk wang zakat dikeluarkan bagi golongan berkenaan.

Dalam satu kes melibatkan seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak di mana salah seorang anaknya yang berusia lima tahun, tidak sahaja menghidapi penyakit jantung berlubang, bahkan telah diliwat dan dirogol oleh manusia berhati Iblis yang diamanahkan untuk menjaganya. Sudahlah terlalu liat untuk pusat zakat memberikan bantuan, bahkan bantuan yang dipohon untuk membiayai persekolahan anak-anaknya serta permulaan untuk mendapatkan sebuah rumah sewa juga telah ditolak mentah-mentah.


Alasannya, ibu tunggal bersama anak-anaknya itu mempunyai tempat perlindungan atau rumah walhal telah diberitahu bahawa ibu tunggal tersebut menumpang tinggal di rumah ibu bapanya bersama adik-adiknya yang lain. Rumah kecil yang hanya mempunyai dua buah bilik itu dihuni lebih 10 orang telah dijadikan alasan oleh pusat zakat untuk menafikan hak ibu tunggal berkenaan.

Lebih malang lagi ialah apabila ibu tunggal tersebut tidak dapat bekerja memandangkan anaknya yang berusia lima tahun itu, mengalami trauma dan sukar bercampur atau mempercayai orang lain selain ibunya. Sedangkan majikan-majikan yang ingin mengambilnya bekerja pula, tidak memberikan kemudahan kepadanya untuk membawa anak malang tersebut ke tempat kerja dengan alasan, kehadiran anak tersebut akan mengganggu kelancaran tugas si ibu.

Bukan pegawai-pegawai dari pusat zakat yang keluar mencari golongan fakir miskin untuk diserahkan hak mereka daripada bahagian zakat, sebaliknya golongan fakir miskin pula yang terpaksa menyembah dan merayu kepada pegawai-pegawai berkenaan.

Dan terlebih menarik lagi, hanya dengan menerima PENGHADAPAN, pegawai-pegawai pusat zakat berkenaan dengan bijak  memberi alasan, 'PERMOHONAN ANDA SEDANG DIPERTIMBANG' tanpa sebarang tindakan pro-aktif bagi mempercepatkan dan mempermudahkan permohonan golongan berkenaan.

Timbul tanda tanya, apakah sebenarnya zakat? Untuk apakah wang zakat yang dikutip apabila cukup haul dan hisabnya? Adakah wang zakat tersebut dipergunakan untuk perniagaan atau sebenarnya, wang zakat tersebut digunakan untuk bermegah-megah dan kemudian menyusahkan kaum fakir dan miskin serta golongan yang amat memerlukan bantuan daripada sistem yang Allah Taala sendiri ciptakan?

Sudah sampai masanya, pusat-pusat zakat serta pihak berkuasa agama, memperincikan dan mengkaji semula kaedah serta sistem yang digunapakai sekarang. Selagi mana wujud umat Islam yang faqir miskin dan tidak menerima wang zakat, fungsi pusat-pusat zakat serta pegawai-pegawai yang diberi pendapatan daripada zakat, perlu dikaji semula.

Anehnya, di pusat-pusat zakat, cukup ramai kakitangan yang sangat pandai bercakap tentang hukum hudud dan negara Islam!!!
Sumber : http://theflyingkick.blogspot.com/2013/06/masalah-birokrasi-pusat-zakat-kembali.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rakan-rakan Blog