Kelantan Di Gondolkan

Klik Untuk Bantah COMANGO

12 June 2013

Politik Malaysia Maju Lagi Setapak

KUALA LUMPUR - Setelah tempoh yang ditetapkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya berakhir hari ini, maka akan bermulalah pula masanya bagi parti politik untuk bertarung di mahkamah bagi mencabar keputusan PRU13 pada 5 Mei lepas.
   
Beberapa ahli politik mendakwa adalah hampir mustahil bagi mana-mana pihak untuk menang dalam petisyen pilihan raya memandangkan standard pembuktian yang ditetapkan 'adalah di luar capaian manusia', di samping hakikat bahawa mereka tidak boleh lagi mencabar Rang Daftar Pemilih.
   
Misalnya, pihak yang memfailkan petisyen perlu membuktikan di luar keraguan munasabah bahawa pihak yang ditentangnya telah memberi habuan dorongan atau menakut-nakutkan pengundi bagi mempengaruhi undi mereka kerana pihak yang ditentangnya boleh memberi hujah bahawa pengundi berkenaan sebenarnya ingin memberi undi kepada mereka.
   
Malah, beberapa peguam berkata memang sukar untuk memenangi petisyen pilihan raya berikutan adanya Seksyen 9(a) Akta Pilihan Raya 1958, yang melindungi Rang Daftar Pemilih daripada dicabar di mahkamah, susulan kepada pindaan yang dibuat terhadap akta itu pada 2002.
   
Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sesuatu petisyen pilihan raya hanya boleh difailkan atas alasan khusus, seperti wujudnya amalan rasuah, ancaman dan penyelewengan prosedur.
   
Bagaimanapun, seorang peguam kanan, yang berpengalaman luas dalam memfailkan petisyen pilihan raya, menolak andaian itu.

Beliau berkata isunya bukan kerana wujudnya undang-undang atau peraturan pilihan raya yang ada sekarang, tetapi lebih kepada kefahaman tentang premis asas undang-undang pilihan raya seperti kenapa ia digubal sebegitu rupa.
   
"Anda perlu faham bahawa apabila anda memfailkan petisyen pilihan raya...sebenarnya anda mencabar kehendak pengundi. Pilihan raya itu sendiri merupakan satu proses demokrasi. Sekiranya anda ingin mencabar kehendak rakyat, maka anda perlu menunjukkan bahawa keputusan berkenaan tidak mencerminkan kehendak rakyat.
   
"Misalnya, anda tidak boleh hanya berkata tiga orang telah diberi rasuah dan kemudian memfailkan satu petisyen pilihan raya untuk mendakwa tiga orang berkenaan boleh mengatasi majoriti pengundi sekiranya calon terbabit menang dengan 1,000 undi.
   
"Sekiranya anda mencabar atas premis prosedur berkenaan tidak dipatuhi, maka anda perlu membuktikan bahawa ia telah menjejaskan keseluruhn keputusan. Katakanlah anda mendakwa dakwat kekal hilang apabila dicuci, anda perlu menunjukkan berapa ramaikah pengundi yang kembali mengundi sekali lagi hingga membolehkannya menjejaskan keseluruhan keputusan," katanya.
   
Ivanpal S. Grewal, pengarah eksekutif Institut Pembangunan dan Penyelidikan Sosioekonomi (SEDAR), badan pemikir yang mempunyai kaitan dengan Gerakan, berkata bukti yang tinggi standardnya perlu disediakan bagi sesuatu petisyen pilihan raya kerana 'seseorang hakim tidak akan dengan semudah itu ingin mengubah pilihan rakyat', melainkan pihak yang memfailkan petisyen mempunyai bukti kukuh bahawa penyelewengan telah dilakukan hingga boleh menjejaskan keseluruhan keputusan.

"Perlu terdapat alasan kritikal yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya itu. Katakanlah ada pengundi yang diberi rasuah, dakwaan ini perlu mempunyai kekuatan kritikal dalam erti kata ia telah menjejaskan keputusan pilihan raya dan menyebabkan seseorang itu memenanginya dengan cara yang tidak adil," kata beliau.
   
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar juga menyangkal bahawa Seksyen 9(a) Akta Pilihan Raya 1958 menjadi penghalang kepada sesuatu petisyen pilihan raya kerana katanya terdapat banyak asas lain, termasuk kesalahan pilihan raya.
   
"Seksyen 9(a) Akta Pilihan Raya 1958 memperuntukkan kemuktamadan Rang Daftar Pemilih. Sekiranya Rang Daftar Pemilih boleh dicabar setiap kali ia diwartakan setelah mematuhi proses yang ditetapkan, maka tidak akan ada kesudahannya dan tiada siapa yang akan terpilih," katanya yang dipetik sebagai berkata.
   
Menurut Wan Ahmad, SPR mengemaskinikan Rang Daftar Pemilih setiap hari dan mewartakannya empat bulan sekali setelah mematuhi suatu proses ketat dan senarai ini akan dipamerkan selama 14 hari, dengan nama yang terkandung di dalamnya disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
   
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008, sebanyak 29 petisyen pilihan raya difailkan, tetapi daripada jumlah itu, hanya satu yang berjaya. Kes ini melibatkan kerusi negeri Sanglang di Perlis, apabila Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan calon Pas Hashim Jasin sebagai pemenang mutlak bagi kerusi itu.
   
Sebelum itu, Mahkamah Pilihan Raya Kangar mengisytiharkan kerusi berkenaan, yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Abdullah Hassan, perlu dikosongkan atas alasan keputsuan pilihan raya berkenaan bercanggah dengan angka yang terkandung di dalam Borang 14 SPR, yang menunjukkan bahawa beliau menang dengan majoriti 47 undi.
   
Ketika dihubungi Bernama, peguam Zulmi Sabri, yang mewakili Hashim, berkata cabaran utama bagi pihak yang memfailkan petisyen ialah kemampuannya untuk memfailkan petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan.
   
"Cabarannya ialah adakah anda mampu mengumpul bukti kukuh dan mengemukakan kes yang kuat dalam tempoh itu. Dalam kes kami, kami menyelaras semua petisyen pilihan raya untuk pelbagai negeri. Ini membantu kami dalam memenuhi syarat yang ditetapkan untuk mengemukakan petisyen, daripada peringkat PO (bantahan awal) hinggalah kepada pendengaran sepenuhnya.
   
"Namun demikian, apa yang dapat saya katakan laluannya tetap sukar bagi pihak yang memfailkan petisyen, walaupun tidak mustahil baginya untuk menang," katanya sambil menambah bahawa kes Sanglang merupakan satu-satunya kejayaan dalam petisyen pilihan raya yang dicatat PAS setakat ini.
   
Walaupun tugas ini disifatkan sebagai "kerja sukar" bagi pihak yang memfailkan petisyen, namun peguam kanan Roger Tan percaya Mahkamah Pilihan Raya tetap merupakan platform terbaik untuk menyelesaikan pertikaian berhubung keputusan pilihan raya serta dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pilihan raya.
   
"Buktikannya di mahkamah, jika tidak, terimalah saja keputusannya. Inilah yang dikatakan demokrasi, bukan 'democrazy'," katanya.
   
Setelah tempoh akhir untuk memfailkan petisyen pilihan raya berakhir hari ini, BN mengambil keputusan untuk memfailkan 21 petisyen, manakala pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas, 34.
   
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dilaporkan memberi jaminan bahawa semua petisyen yang difailkan boleh diselesaikan dalam tempoh setahun sekiranya segalanya berjalan lancar. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rakan-rakan Blog