PORT DICKSON - Keghairahan 50 remaja berpesta liar di seunit apartmen sebuah resort di sini semalam berakhir dengan 27 daripada mereka ditahan polis selepas didapati positif dadah.
  
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Abd Wahab Harun berkata ketika serbuan pada kira-kira 3 pagi, semua pengunjung berusia 17 hingga 27 tahun terdiri daripada 38 lelaki dan 12 wanita sedang leka menari dengan iringan muzik yang kuat.
  
"Hasil saringan air kencing, kita dapati 22 lelaki dan lima perempuan yang berada di premis ini positif dadah jenis ekstasi, dan seramai 11 lelaki yang ditahan akibat positif ini juga kita dapati memiliki beberapa pil dadah jenis yang sama," katanya pada sidang akhbar hari ini.
  
Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja berkenaan adalah dari Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur serta Selangor dan mereka menyewa apartmen berkenaan sejak semalam.
  
Katanya, mereka kemudian bertindak mengalih segala perabot di unit kediaman itu dan mengosongkan bahagian ruang tamu serta memasang muzik dengan kuat, sekali gus mengganggu penyewa lain.

"Tindakan mereka ini menyebabkan penyewa yang lain berasa curiga sebelum memaklumkan kepada pihak polis yang seterusnya membuat serbuan," katanya.
  
Abdul Wahab berkata mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk tindakan lanjut.
  
"Semua yang positif dadah itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, dan bagi yang memiliki dadah, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya," katanya. - Bernama