Malindo Air
Malindo Air
KUALA LUMPUR - Malindo Air menjangka dapat membawa lebih tiga juta penumpang menjelang akhir tahun depan, terutamanya dengan rancangan pengembangan rangkaian yang agresif.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Airways Chandran Rama Muthy berkata menjelang akhir 2014, syarikat penerbangan itu akan ke hampir semua destinasi yang dirancangannya iaitu India, China dan negara-negara Asean.

Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkata Malindo Air menjangka 20 hingga 22 pesawat, termasuk pesawat turboprop akan digunakan bagi penerbangan ke destinasi di Semenanjung Malaysia, menjelang akhir 2014.

Pada akhir tahun ini, syarikat penerbangan itu akan beroperasi dengan 10 hingga 12 pesawat, termasuk empat pesawat turboprop ATR.

"Kami memulakan operasi kami pada akhir Mac dengan perkhidmatan ke Kota Kinabalu dan Kuching. Dengan perkhidmatan berkenaan, sehingga kini kami telah membawa 125,000 penumpang.

"Jika dalam tempoh hanya tiga bulan kami boleh mencapai angka sedemikian, saya pasti kami akan mencapai sasaran, dibantu dengan semua rancangan kami.

"Jualan juga dijangka meningkat setelah syarikat terus memperkenalkan laluan baharu dan menambah kekerapan. Buat masa ini, kira-kira 50,000 orang mengunjungi  laman web kami setiap hari dan membeli sekurang-kurangnya satu tiket penerbangan," katanya.

Syarikat penerbangan itu merancang untuk berkembang ke Sibu dan Miri di Sarawak dan Tawau, Sabah pada bulan ini.

Chandran berkata syarikat penerbangan itu akan mengukuhkan kedudukan domestiknya sebelum ke luar negara, dengan Singapura, India dan China menjadi antara pilihan pertama tahun ini disebabkan oleh permintaan tinggi yang belum diteroka.

Beliau berkata Malindo Air berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab transit sesuai untuk pelancong, memandangkan sambungan untuk pelancong di rantau Asean sangat rendah.

"Setakat ini, kami hanya melihat Bangkok dan Singapura yang dianggap sebagai hab transit bagi rantau ini. Dengan Malindo Air memainkan peranan, Malaysia turut terlibat, "katanya.

Menjelang akhir tahun ini, Malindo Air menjangka dapat mengadakan perkhidmatan ke Cochin, Trichy dan New Delhi di India dan laluan China seperti Shenzhen dan Shanghai.

Pada 2014, Chandran berkata syarikat penerbangan itu akan memperluaskan kehadirannya di India melalui destinasi baharu iaitu Chennai, Mumbai dan Calcutta.

"Kami juga sedang meneroka peluang untuk terbang ke Guangzhou dan Hong Kong.

Bagi pihak kami, kami bersedia. Kelulusan kawal selia adalah satu-satunya halangan yang tinggal.

"Setakat ini, kami telah menerima sokongan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia dan pelancong. Kami juga telah mengambil maklum balas mereka untuk prestasi yang lebih baik pada masa depan," katanya.

AirAsia X, syarikat sekutu AirAsia bagi penerbangan jarak sederhana, telah menghentikan penerbangan ke Delhi dan Mumbai pada tahun lepas, dengan alasan kos operasi yang tinggi di negara yang mempunyai 1.2 bilion penduduk itu.

Bagaimanapun, peserta industri berpendapat syarikat penerbangan kos rendah itu mungkin mempertimbang untuk memulihkan kedua-dua laluan itu, untuk menyediakan sambungan domestik yang kukuh utara India kepada AirAsia India yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Malindo Air, gabungan syarikat penerbangan tambang murah Indonesia yang berkembang pesat, Lion Air, telah mendapat perhatian di pasaran penerbangan Malaysia setelah menawarkan tambang kompetitif bagi laluan yang mendapat sambutan dengan faedah hebat seperti snek percuma dan muatan bagasi yang dibenarkan.
Walaupun kemasukan peserta baharu itu mencetuskan perang harga antara syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia, persaingan yang semakin sengit di Malaysia dilaporkan menjadi sebahagian daripada perebutan pengguasaan yang lebih luas bagi syarikat penerbangan tambang murah (LCC) antara AirAsia dan Lion Air, yang telah membuat pesanan pesawat yang besar dan merancang untuk menggunakan penguasaannya di Indonesia untuk berkembang di Asia.

Lion Air mempunyai 49 peratus pegangan dalam Malindo Air, dengan bakinya dimiliki syarikat Malaysia, NADI (National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd). - Bernama