SHAH ALAM – Cadangan pemansuhan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hanya menerima kemasukan Bumiputera dianggap tidak menghormati sistem pendidikan terbuka negara.

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, Malaysia telah mengamalkan sistem berkenaan sejak dahulu lagi dengan membenarkan sekolah vernakular.

Menurutnya, UiTM juga lahir daripada sistem terbuka dan cadangan meminta universiti itu menukar dasar sama seperti tidak mahu sistem sekolah vernakular dilaksanakan.

“Negara kita mempraktikkan sistem pendidikan terbuka yang mengizinkan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina (sekolah bahasa ibunda) di buka.

“Sama seperti UiTM yang menerima kemasukan Bumiputera, negara juga juga membenarkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dibuka yang 99 peratus pelajarnya adalah kaum Cina,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, sistem pendidikan seharusnya tidak dipolitikkan sebagai rasis kerana negara kita memiliki keunikan yang tersendiri.

“Mengambil contoh jiran negara terdekat, Singapura dan Indonesia mereka tidak mempunyai sistem pendidikan vernakular, tidak seperti negara kita memberi kebebasan yang melahirkan masyarakat pelbagai kaum yang aman dan harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidzun turut mencadangkan NGO, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk menghantar memorandum menentang kekejaman terhadap masyarakat Islam di Israel sekiranya mahu memperjuangkan sistem Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman.

“Di Malaysia ini tiada diskriminasi pendidikan dan masing-masing ada diberi keistimewaan. Jadi, UiTM perlu diteruskan menjadi universiti Bumiputera seperti mana kita meneruskan sistem pendidikan terbuka,” katanya.