'Tiket kebal' makan diri
Pegawai Penguatkuasa membawa wanita warga Indonesia (kanan) balik ke Pejabat Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan.



TELUK INTAN - Hanya kerana mempunyai teman lelaki berjawatan tinggi di peringkat kampung di sini, seorang pekerja butik yakin dia tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Namun, tindakan wanita berusia 35 tahun warga Indonesia yang menjalinkan hubungan dengan warga tempatan untuk mendapatkan ‘tiket kebal’ akhirnya memakan diri sendiri apabila dia dicekup dalam satu operasi Imigresen yang dikenali sebagai Ops Sapu, di sini, pagi semalam.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, wanita warga Indonesia itu sudah berkenalan dengan lelaki itu sejak enam bulan lalu.

Katanya, lelaki yang sudah berkahwin itu sanggup mengeluarkan modal untuk membuka sebuah butik aksesori wanita dan diuruskan oleh wanita itu sebagai tanda cinta.

“Walaupun wanita warga Indonesia itu bersembunyi di belakang teman lelakinya itu  dikatakan mempunyai jawatan penting dalam organisasi kampung, ibu tunggal itu tidak boleh lari daripada tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui semalam.

Sinar Harian turut dimaklumkan lelaki warga tempatan itu sering keluar masuk ke rumah ibu tunggal warga Indonesia sehingga penduduk tempatan tidak tahan melihat keadaan itu.

Khairul Anuar berkata, ibu tunggal itu mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun yang kini berada di Indonesia di bawah jagaan adiknya.

Pihaknya menahan wanita itu di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Langkap untuk tindakan lanjut.

"Pihak kami akan menjejaki pemilik butik yang juga warga tempatan bagi membantu siasatan.

"Menjadi kesalahan  apabila warga tempatan memberikan perlindungan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya.

Individu yang didapati bersalah boleh didenda minimum sebanyak RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya
.