Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Setelah seminggu kontroversi membabitkan jawatan menteri besar Selangor bertebaran, Naib Presiden PKR, Tian Chua memberitahu esok akan berlangsungnya upacara angkat sumpah bagi jawatan itu.

Menyifatkan "tidak ada isu", perkara berkenaan jawatan menteri besar itu sudah selesai dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah dipersetujui untuk dilantik semula sebagai menteri besar.

"Kita sudah buat temu janji dengan pihak istana (untuk angkat sumpah) Isnin (esok)," katanya kepada Sinar Harian Online.

Pertikaian jawatan Menteri Besar Selangor berlarutan sejak seminggu lalu sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang terus memihak kepada Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.

Perkara ini menjadi isu apabila PKR hanya memenangi 14 kerusi berbanding Pas dan DAP yang masing-masing memperoleh 15 kerusi.

Kelayakan PKR mula dipersoalkan.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, menteri besar mestilah dari kalangan Melayu Islam.

Maka dalam perkara ini, DAP terkecuali daripada menjawat jawatan berkenaan.

Pas pula dari awal lagi menyatakan sokongan kepada PKR iaitu penyandang sebelum ini, untuk kekal menjawat jawatan menteri besar Selangor. Sokongan sama disuarakan oleh DAP.

Namun kemelut ini semakin meruncing apabila Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan pimpinan PKR Selangor menyatakan pihaknya langsung tidak dirunding berhubung jawatan itu.

Azmin berkata, pelantikan Menteri Besar Selangor harus melalui konsensus dan tidak boleh diputuskan oleh individu tertentu sahaja.

Azmin mendakwa Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah menghantar senarai nama Menteri Besar kepada Sultan untuk perkenan terlebih dahulu.

Beberapa jam selepas sedang media Azmin, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan memberitahu, Khalid telah dipersetujui sebagai Menteri Besar Selangor.

Ujarnya, dua nama telah diangkat namun perikatan itu sepakat memilih Khalid.