KUALA LUMPUR - Lima orang yang dilantik Senator antara menteri dan timbalan menteri yang dinamakan dalam kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
  
Mereka ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Presiden Transparency International Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan yang masing-masing dinamakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
  
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah pula dinamakan sebagai Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koprasi dan Kepenggunaan.
  
Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Dr J. Loga Bala Mohan dinamakan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan manakala Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P.Waytha Moorthy dinamakan  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
  
Low, Ahmad Bashah, Loga Bala dan Waytha Moorthy dijangka mengangkat sumpah sebagai senator esok manakala Abdul Wahid akan berbuat demikian pada 5 Jun.
  
Sementara itu, Senator Datuk Seri Idris kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Bernama