SIBU - Empat wartawan yang membuat liputan berita proses penjumlahan undi bagi kawasan Parlimen Sibu di Pusat Sivik Sibu terkejut apabila penyokong DAP mengepung mereka dan mendesak untuk memeriksa beg mereka apabila mereka tiba di pusat itu kira-kira 9 pagi semalam.
  
Pang Boon Soon dari akhbar Sin Chew Daily News berkata mereka memeriksa beg kameranya bukan sekali tetapi tiga kali.
  
"Kami membantah dengan menyatakan kami wartawan dan menunjukkan kepada mereka pas pengenalan media dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, tetapi mereka berkeras untuk memeriksa barang-barang kami.
  
"Mereka bimbang yang kami mungkin menyeludup masuk kertas undi untuk membantu calon  Barisan Nasional Vincent Lau Lee Ming yang ketika itu ketinggalan lebih 1,500 undi untuk menang," kata Pang.
  
Seorang lagi wartawan, Wilson C. K. Kong dari akhbar berbahasa Inggeris "The Borneo Post", berkata penyokong DAP berkenaan bertanya kepadanya sama ada beliau  ada menyembunyikan apa-apa dalam seluar dalamnya.
 
Beg rakan Pang, Lew Ching turut diperiksa.
  
"Mereka juga merakam kami dengan video dan ini menyebabkan kami berasa takut mengenai kemungkinan diapa-apakan sekiranya DAP kalah di kerusi itu," kata seorang lagi rakan Pang, Wong Chu Kiong.
  
Pang berkata mereka diselamatkan oleh anggota polis yang membawa mereka masuk ke pusat itu.
  
Katanya beliau mengadu kepada calon DAP, Oscar Ling Chan Yew, pemenang kerusi Sibu, yang berjanji akan menghantar seseorang untuk menasihatkan penyokong berkenaan supaya tidak menganggu wartawan.
  
Terdahulu, kerani-kerani pilihan raya yang tiba di pusat itu dari pusat pengundian masing-masing turut diperiksa oleh penyokong DAP, dengan beberapa daripada mereka cuba merampas beg mengandungi kertas undi.
  
Mereka juga mendesak beg-beg itu dibuka di depan mereka sambil menjerit wujud cubaan untuk menipu bagi membantu BN menang.  - Bernama