KLUANG - Hasrat Pas untuk melaksanakan hudud jika Pakatan Rakyat (PR) menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hanya sekadar pandangan peribadi parti itu.


Setiausaha Biro Guaman DAP, Gobind Singh Deo berkata, isu pelaksanaan hukum terbabit tidak timbul berdasarkan asas kerjasama antara DAP, PKR dan Pas yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak mahu komen mengenai isu itu. Pas ada hak dan mereka hanya sekadar menyuarakan pandangan berhubung isu terbabit, malah pucuk pimpinan DAP juga sudah menjawab isu ini.

“Kerjasama dan persefahaman antara kami amat jelas dan di atas platform yang sama iaitu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ceramah di Pejabat Pilihan Raya DAP Dun Mengkibol di Taman Tasik di sini, kelmarin.

Dalam ceramah tersebut dianggarkan kira-kira 70 penyokong menghadiri program berkenaan yang turut disertai penyandang Parlimen Petaling Jaya Utara; Tony Pua, calon DAP Dun Mengkibol; Tan Hong Pin dan calon Pas Dun Mahkota, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta calon DAP Dun Paloh, R Shanker.

Terdahulu, media melaporkan DAP bertegas menentang sebarang usaha Pas meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan hukum hudud sebagai salah satu undang-undang tertinggi negara jika pakatan pembangkang menang PRU13.