Pengisytiharan keluar parti itu diketuai  Ketua Oas Taman Desa Cempaka Fasa 3 Changkat Lada, Semiran Sapuan, 64, dalam satu majlis ilmu Umno Bahagian Pasir Salak.


Semiran berkata, dia bersama rakan-rakan lain mengisytiharkan keluar dari Pas kerana berasa kecewa dengan pelbagai perkara yang dilakukan parti berkenaan.


“Saya kecewa dengan isu kalimah ALLAH yang gagal dipertahankan Pas yang sepatutnya diperjuangkan untuk agama dan bangsa kita,” katanya.


Semiran berkata, desakan untuk keluar parti semakin bertambah apabila melihat rakan yang bersama Pas terlebih dahulu keluar parti berkenaan.


“Ada rakan saya yang senyap-senyap keluar dari Pas dan itu menambahkan lagi nekad saya untuk keluar dan akhirnya hasrat ini tercapai.


“Saya juga percaya dalam waktu terdekat ini seramai 100 lagi ahli Pas kawasan Changkat Lada akan berbuat perkara yang sama,” katanya.


Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini adalah kejayaan Barisan Nasional (BN) Pasir Salak apabila ahli Pas menyertai Umno Pasir Salak.


“Saya yakin dengan perkembangan terbaru ini akan memberi kemenangan besar kepada BN (Barisan Nasional) Pasir Salak pada pilihan raya umum nanti,” katanya.


Sementara itu, Yang DiPertua Pas Pasir Salak, Dr Muhaimin Sulamuddin ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat berkenaan pengisytiharan ahli Pas keluar dari parti itu untuk menyertai Umno.


“Jika berlaku sekalipun kita harus mengenal pasti dahulu siapa yang melakukan demikian. Ini adalah satu perkara yang baru bagi Pas kerana sebelum ini kita hanya mendengar ahli PKR yang melakukan demikian,” katanya.


Beliau berkata, jika perkara itu benar-benar berlaku ia boleh dianggap sebagai silap mata politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13  (PRU13).
Sumber:
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013