200 penduduk berpiket bantah Tian Chua

Sebahagian penduduk pekan Cherang Ruku membakar gambar Tian Chua selepas membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku, kelmarin.
CHERANG RUKU - Seramai 200 penduduk pekan Cherang Ruku yang mewakili 10 NGO, membuat laporan polis di Balai Polis Cherang Ruku, di sini, kelmarin, bagi membantah kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung insiden Lahad Datu.


Mereka berpiket secara aman, sambil membakar gambar pemimpin itu sebagai simbolik kemarahan rakyat terhadap kenyataan biadab dikeluarkannya.

Laporan dibuat jam 4.30 petang itu diketuai Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cherang Ruku, Wan Abdul Aziz Wan Noh bersama wakil Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak, Persatuan Penduduk Perumahan Taman Jaya, Persatuan Peniaga Kecil Pasar Cherang Ruku, Persatuan Peniaga Pasar Minggu Semerak dan lain-lain.

Wan Abdul Aziz ketika ditemui berkata, laporan polis itu dibuat atas dasar permuafakatan penduduk bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin PKR terbabit yang tidak mempunyai semangat patriotisme.

“Sekiranya dia (Tian Chua) menghargai kedaulatan dan keamanan negara, dia tidak akan mengeluarkan kenyataan biadab, berunsur hasutan dan ada sentimen politik seperti itu,” katanya.

Paling tidak katanya, Tian Chua tidak berdegil untuk tampil menarik balik kenyataannya itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negara ini.