Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
MACHANG - Teka-teki siapa atau parti mana dalam PR akan bertanding di kerusi Parlimen Machang makin menarik perhatian apabila Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dari PKR disahkan bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengumuman dibuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah umum parti itu, di sini, Selasa lalu menjawab desas-desus mengenai kedudukan Saifuddin Nasution, namun pada masa sama meninggalkan satu lagi tanda tanya, siapakah calon pengganti?

Persoalan makin rumit memandangkan individu dikatakan akan mengambil tempat Saifuddin Nasution sehingga kini masih belum muncul sekalipun bahang PRU13 makin terasa.

Setiausaha Agong PKR itu akan ditempatkan di Kulim Bandar Baru atas permintaan ramai bagi mengembalikan kepercayaan rakyat Kedah selepas Ahli Parlimennya dari parti itu, Zulkifli Nordin bertindak keluar parti.

Pada PRU12, 2008, kerusi Kulim-Bandar Baharu dimenangi Zulkifli dengan majoriti 5,583 undi, namun meninggalkan PKR tiga tahun lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas.


Anwar berkata, sekalipun keputusan itu agak berat, namun Saifuddin Nasution lebih diperlukan di Kedah dan pihaknya akan mencari calon pengganti terbaik dengan perbincangan bersama Pas Kawasan Machang mengenainya kini di peringkat akhir.

Katanya, keputusan akan dibuat dalam masa terdekat sebelum nama calon itu dihantar kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan restu.

Ini bermakna, tidak ada sebarang pertukaran kerusi dibuat antara parti itu dengan sekutunya, Pas biarpun wujud khabar angin akan berlaku perubahan kerusi antara kedua-dua parti itu pada pilihan raya umum akan datang sejak hampir setahun lalu.

PKR Kelantan sebelum ini mengesahkan memohon pertimbangan Pas negeri untuk pertukaran kerusi antara Parlimen Bachok dan Machang sekali gus membuka laluan kepada PKR meletakkan calon ‘harapan’ bertanding pada PRU13.

Penuhi naluri politik Kelantan

Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir mengakui, pihaknya telah menghantar surat cadangan berhubung perkara itu kepada PKR Pusat dan Pas Kelantan.

Ditanya objektif cadangan pertukaran kerusi tersebut berkemungkinan disebabkan faktor PKR Kelantan bermasalah di Machang, beliau menafikannya dan menegaskan idea itu sekadar strategi parti untuk berhadapan PRU13.

Sebelum ini, tercetus khabar angin mengatakan alasan pertukaran ialah kerana PKR tidak ada calon berwibawa di Machang manakala Pas Bachok pula bermasalah untuk mencari calon yang boleh berdepan dengan Awang Adek Hussein, seorang timbalan menteri.

Nampaknya, strategi pertukaran itu tidak menjadi kenyataan dan kedua-dua pihak (Pas dan PKR) masih mengekalkan  ‘status quo’ dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya umum akan datang, sekali gus menamatkan spekulasi itu.

Jadi siapakah calon PKR  yang akan diletakkan di Machang pada PRU13 nanti? Adakah anak tempatan atau juga ‘orang luar’ sama seperti Saifuddin Nasution?.

Siapa pun calon tersebut, PKR perlu bijak dengan memastikan calon dipertaruhkan itu mampu mengikat hati penduduk Machang dan memenuhi naluri politik Kelantan yang unik dan paling penting, anak tempatan.

Selain itu, calon baru itu juga perlu membawa idea baru bagi memastikan pembangunan Machang berterusan selain cakna dalam menjaga kebajikan rakyat.

Ada kekuatan sendiri

Sekalipun masih kabur, antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Saifuddin Nasution adalah anak kelahiran Labok, dekat sini, Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Walau siapa pun calonnya, PKR bakal berdepan saingan sengit dengan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Machang apabila parti itu gigih meraih sokongan rakyat sejak awal.

Sama ada Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub atau bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Sazmi Miah, dicalonkan, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk merampas kembali kerusi P29.

Berpengalaman luas dalam bidang politik, Ahmad Jazlan kini dilihat hampir pasti dicalonkan BN di kerusi tersebut sekalipun pernah kalah di kerusi Dun Kemuning pada 2008.

Kegigihannya meraih sokongan rakyat dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai pendekatan terutama menjaga kebajikan penduduk Machang secara menyeluruh di peringkat akar umbi.

Beliau sanggup mengorbankan waktu dan tenaganya hampir saban hari dengan turun padang ke seluruh kawasan Parlimen bagi mendengar sendiri keluh kesah rakyat.