SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mampu menyaingi Pakatan Rakyat (PR) dalam perang dunia siber yang memfokus kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Menurutnya, media sosial yang digunakan BN telah menjauhkan 'penggemar' media itu daripada parti komponen itu, termasuk Umno.

Beliau berkata, Umno-BN menggunakan dunia siber secara "kasar" dengan menabur fitnah, mengeluarkan kata-kata lucah serta memaki hamun, menyebabkan pengundi atas pagar, yang kebanyakkan menjadi penggemar media ini, memilih alternatif lain.

"Memang saya akui sekarang ini Umno-BN banyak gunakan 'cybertroopers' melalui media sosial untuk memenangi hati pengundi atas pagar ini.

"Tetapi mereka guna media ini dengan cara kasar, mereka lebih suka maki hamun orang, buat fitnah dan sebagainya menyebabkan penggemar media ini mencari sumber alternatif lain.

"Ya, ia betul dari segi pemantauan BN, memang betul dunia siber ini penting untuk menentukan kemenangan PR tapi BN tak berjaya nak lakukan itu," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan dunia siber yang menjadi 'rumah' bagi pelbagai aplikasi media sosial dan blog merupakan gelanggang utama bagi memastikan kemenangan BN pada PRU13.

Justeru, beliau juga berkata pemuda BN perlu menyediakan diri mereka bagi memerangi segala fitnah dan penipuan ditabur pembangkang dalam dunia siber yang menjadi sumber maklumat utama generasi muda pada masa kini.

Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata penyebaran maklumat yang dilakukan oleh BN melalui cybertroopers yang diupah dan tidak telus berbanding pembangkang.

Rafizi juga berkata, pakatan pembangkang menyebarkan maklumat melalui sukarelawan dan disampaikan kepada rakan tanpa paksaan.