PRU13
PRU13
GEORGETOWN - Polis akan memberi tumpuan kepada 37 kawasan panas yang dikenal pasti untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kawalan keselamatan akan diberi perhatian, terutama di kawasan panas dan berhampirannya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, khemah dan pondok polis juga akan diwujudkan di beberapa kawasan yang bersesuaian bagi memantau dan menjaga ketenteraman awam di kawasan berkenaan sepanjang tempoh PRU13.

"Kita sudah siap sedia untuk menjalankan tanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya diadakan.

“Kawalan keselamatan akan diberi tumpuan, terutama selepas pembubaran parlimen, hari penamaan calon dan semasa serta selepas proses membuang undi,” katanya kepada media selepas menyempurnakan upacara pemakaian lencana pangkat bagi anggota pangkat
rendah Kontinjen Pulau Pinang, di sini, semalam.

Pulau Pinang mempunyai 13 Parlimen dan 40 Dun yang mana sebahagian besarnya akan menyaksikan pertembungan sengit calon.

Menurutnya, sehingga kini Pulau Pinang mempunyai 6,000 anggota dan 800 anggota bantuan diperlukan bagi memantapkan lagi tugasan sepanjang PRU13.

“Polis akan mengawal keselamatan orang awam membabitkan 1,545 tempat mengundi di seluruh negeri ini,” katanya.

Sementara itu, sempena majlis berkenaan, 154 anggota rendah dinaikkan pangkat membabitkan 10 anggota dari sarjan mejar kepada sub inspektor, sarjan kepada sarjan mejar (30)  dan 114 orang dari lans koperal kepada koperal.

Jangkaan kawasan panas

Parlimen Kepala Batas
Kawasan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Selain berlaku perebutan antara calon Umno, Pas dijangka meletakkan calon yang mempunyai latar belakang agama untuk merampas kerusi ini.
~ Dun Penaga dan Pinang Tunggal mungkin berlaku persaingan sengit. Penaga akan berlaku persaingan Umno dan Pas manakala Pinang Tunggal antara Umno dan PKR


Parlimen Tasek Gelugor
Kini diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Berlaku perebutan apabila Datuk Seri Mohd Sharif Omar (bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) menuntut kembali kerusi itu dengan alasan Pak Lah minta satu penggal untuk diberikan kepada Tan Sri Nor. PKR mahu merampas kerusi ini kerana yakin dengan kekuatan dan sokongan pengundi.
~ Dun Sungai Dua sengit antara Umno vs Pas manakala Telok Ayer Tawar antara Umno vs PKR

Parlimen Permatang Pauh
Masih panas walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempertahankan kerusi di sini.
~ Dun panas adalah Seberang Jaya kerana penyandang Datuk Arif Shah Omar Shah mungkin pertahankan atau diganti muka baru. PKR mahu letak calon muda. Dun Permatang Pasir adalah kubu kuat Pas manakala Penanti (PKR) peluang sama rata antara Umno dan PKR.

Parlimen Nibong Tebal
Kawasan ini sering bertukar tangan. Sekejap BN dan sekejap pembangkang. Kini dipegang oleh Tan Tee Beng (kini menyertai Kita selepas keluar PKR). Disebut-sebut bahawa Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman akan bertanding kerusi ini manakala BN akan meletakkan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman
~ Persaingan Dun di Sungai Bakap antara Umno dan PKR. Adun sekarang dari PKR.

Parlimen Balik Pulau
Kubu kuat Umno tetapi berjaya ditembusi PKR pada PRU12 apabila Yusmadi Yusof (PKR) menewaskan Datuk Dr Norraesah Mohamad. Kini berlaku perebutan beberapa pemimpin Umno Balik Pulau untuk jadi calon Parlimen.
Parlimen Bayan Baru
Menjadi tumpuan kerana penyandangnya, Datuk Zahrain Mohd Hashim jadi Bebas setelah keluar PKR. Orang PKR mahu balas dendam jika Zahrain bertanding lagi. Umno juga akan meletakkan calon.

Kerusi Dun
Dun Padang Kota (Parlimen Tanjong) - Lim Guan Eng sahut cabaran untuk menentang Teng Chang Yeow (Pengerusi BN PP).

http://www.sinarharian.com.my/politik/pru13-37-kawasan-panas-pulau-pinang-dikenalpasti-1.144400