Sabah diceroboh

Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Veteran Umno hari ini mengecam tindakan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari yang memburukkan nama Malaysia di arena antarabangsa dalam isu Lahad Datu dan tuntutan pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram ke atas Sabah.
   
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata perbuatan Nur Misuari itu tidak menyumbang kepada usaha menyelesaikan isu tersebut yang giat dijalankan kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Filipina.
   
"Kenyataan Nur Misuari yang menyifatkan Malaysia sebagai penjajah (Sabah dan Sarawak) bagaikan menyimbah minyak ke dalam api, beliau sepatutnya mencontohi dasar Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mengutamakan perbincangan dalam mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa berlaku.
   
"Beliau yang amat tahu sejarah pembentukan Malaysia dan banyak menerima bantuan nasihat daripada Malaysia semasa mengetuai MNLF, sengaja mengeluarkan kenyataan untuk memburukkan Malaysia demi kepentingannya sendiri," katanya kepada Bernama di sini.
   
Pada Isnin lepas, Nur Misuari dilapor menuduh Malaysia campur tangan dalam hal ehwal Islam Moro di selatan Filipina serta mendakwa negara ini menjajah Sabah dan Sarawak.
  
Kenyataan itu disanggah Ketua Sekretariat MILF Mohammad Ameen tiga hari kemudian.
   
Mustapha berpendapat kenyataan itu juga membuktikan dakwaan bahawa Nur Misuari adalah antara mereka yang bertanggungjawab mengapi-apikan pengganas Sulu sehingga berlaku pencerobohan di Sabah.
   
"Saya juga berpendapat Nur Misuari sebenarnya cemburu dengan kejayaan yang dicapai MILF dalam perjanjian damai dengan kerajaan Filipina dengan bantuan Malaysia, maka beliau mencari jalan bagi 'menampakkan' namanya dalam kalangan masyarakat Moro di selatan Filipina," katanya.
   
Beliau turut menggesa siasatan terhadap dalang tragedi Lahad Datu itu dapat dilakukan dengan teliti dan pada kadar segera.
   
"Veteran mendesak kerajaan supaya jangan sekali-kali berkompromi dengan pengkhianat negara, walaupun pengkhianat itu warganegara Malaysia ataupun bertaraf pemimpin," katanya.
   
Mustapha juga memohon seluruh rakyat negara ini supaya berdiri teguh di belakang kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia daripada pencerobohan pengganas Sulu hingga ke titisan darah terakhir.  - Bernama