Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
LAHAD DATU -  Seorang remaja lelaki maut dan seorang lelaki cedera di kaki setelah terkena tembakan pasukan keselamatan dalam operasi memburu penceroboh di Kampung Sungai Bilis dekat sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian pada 9.45 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas lima individu yang berada dalam Zon Merah berhampiran Kampung Tanjung Batu.
"Ketika pasukan keselamatan sedang bergerak menjejak pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.

"Mereka segera ditangkap dan ketika sedang diperiksa kedengaran bunyi pergerakan dari kawasan belukar berdekatan di mana pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar itu," katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas Op Daulat Felda Sahabat 16 di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan segera yang dilakukan mendapati remaja lelaki itu yang dipercayai berusia antara 12 dan 15 tahun, terbunuh manakala seorang lelaki 30-an, cedera di kaki.

Ismail berkata, susulan itu, pasukan perubatan dikerah ke tempat kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Katanya, kesemua mereka, termasuk yang cedera dan terbunuh, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala tiga wanita dan dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Ismail mengesahkan enam individu ditahan di Semporna hari ini mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan penceroboh.

Beliau berkata, dua daripadanya ditahan di Kampung Perigi Simunul pada 6.30 pagi dan selebihnya di Batu 1.5 Jalan Tawau-Semporna kira-kira dua jam selepas itu.
Ismail berkata, sehingga kini seramai 96 orang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh, manakala 66 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Op Daulat. - Bernama