Tunku Abdul Aziz keluar DAP
Tunku Abdul Aziz
BUTTERWORTH - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim mahu rakyat memilih pemimpin yang baik dan berkebolehan untuk mentadbir bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama perlu bersatu padu serta menetapkan matlamat agar perpaduan bangsa dan agama terus diperkukuhkan.

"Negara kita lebih penting... para pemimpin terawal mereka mempunyai fokus dalam perjuangan untuk perpaduan bangsa, sekarang ini sahaja rakyat mula berpecah...kita kena pastikan pemimpin yang kita pilih itu mempunyai rekod yang baik dan boleh menjaga kita dengan elok.

"Pakatan Rakyat (PR) hanya mempunyai strategi jangka pendek iaitu semata-mata mahu menawan Putrajaya, mereka tiada pelan jangka panjang yang khusus dalam pentadbiran negara," katanya dalam ucapan pada jelajah nasional mengenai 'The Days We Were in Pakatan Rakyat' di dewan Persatuan Tan Si Eng Chuan Tong di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syamsul Hidayat Mohd Shariff dan bekas Anggota Jawatankuasa Negeri yang juga Ketua Cabang Bentong, Pahang Osman Ishak.

Dalam ucapannya Tunku Abdul Aziz turut mendedahkan taktik kotor pembangkang untuk meraih sokongan rakyat serta sikap sebenar pemimpin pembangkang mencapai matlamatnya untuk menawan Putrajaya tanpa mempedulikan apa yang akan berlaku kepada negara dan rakyat.

Beliau meminta orang ramai menggunakan akal untuk memilih pemimpin yang memikirkan pelbagai rancangan untuk kemajuan negara demi generasi akan datang.

Katanya mereka perlu bekerjasama untuk mengekalkan perpaduan yang telah sekian lama wujud untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat. - Bernama