Israel culik 900 budak pada 2012
Askar Israel turut menggari dan menutup mata remaja yang diculik sebelum mereka dibawa ke pusat soal siasat di kawasan penempatan haram.
Israel culik 900 budak pada 2012
Askar Israel turut menggari dan menutup mata remaja yang diculik sebelum mereka dibawa ke pusat soal siasat di kawasan penempatan haram.
Kementerian Tahanan Penjara Palestin melaporkan jumlah kanak-kanak diculik mencecah 900 orang pada 2012 berbanding 700 pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan pencabulan Israel ke atas golongan lemah di negara itu semakin meningkat.

Menurut kementerian tersebut, peningkatan angka tersebut mungkin kerana faktor Perang Israel-Palestin pada bulan lalu dan kejayaan mereka menaik taraf status sebagai negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Susulan daripada detik bersejarah itu, tentera Israel didakwa sengaja menyasarkan golongan remaja dan kanak-kanak Palestin.

Sebanyak 95 peratus budak yang diculik didakwa turut didera secara fizikal.

Kebanyakan daripada mereka diculik dari rumah masing-masing antara jam 2 dan 4 pagi iaitu semasa remaja atau kanak-kanak tersebut sedang nyenyak tidur bersama keluarga mereka.

Tentera Israel sewenang-wenangnya memecah masuk ke rumah penduduk Palestin dan merosakkan perabot dan barangan lain semasa serbuan tanpa waran itu dilakukan.

Askar rejim Zionis juga memukul ahli keluarga yang cuba untuk menyelamatkan mereka.

Dalam kebanyakan kes, ketika dalam perjalanan menuju ke pusat tahanan, askar tidak berperikemanusiaan ini akan memukul dan menendang remaja dan kanak-kanak itu tanpa belas kasihan.

Ada juga yang sengaja mahu menakut-nakutkan mereka dengan melepaskan tembakan peluru hidup dan bom tangan.  

Di pusat soal siasat itu, mereka akan dipukul dan diseksa secara berterusan sehingga budak tersebut membuka mulut dan memberi maklumat yang diperlukan oleh askar Israel.

Mereka diperlakukan dengan kejam dan ada yang dipaksa berdiri di tengah panas dan semasa hujan lebat selama beberapa jam.

Kementerian itu mendakwa ada juga penyiasat rejim Zionis yang menggunakan kekerasan seperti alat renjatan elektrik dan memaksa kanak-kanak atau remaja tersebut minum air mendidih sama seperti dilakukan ke atas Nassar Aref Jaradat, 16, yang berasal dari Sair berhampiran bandar Hebron di Tebing Barat.

Nassar diculik pada 2 Februari 2010 dan dibawa ke kem tentera Etzion, di mana dia didera secara melampau hingga tidak sedarkan diri.

Difahamkan, kebanyakan mangsa culik dibawa ke pusat soal siasat rahsia di penempatan haram Israel di Keryat Arba, Maaleh Adumin, Dan Shomron dan beberapa kawasan lain yang tidak diketahui oleh Palang Merah Antarabangsa.

Sehingga kini, seramai 140 kanak-kanak masih disoal siasat dan menanti untuk dibicarakan termasuk 32 budak di bawah umur 16 tahun.

Sama seperti tahanan dewasa Palestin, golongan itu juga tidak mendapat hak asas dan jaminan yang terkandung dalam perlindungan antarabangsa hak asasi manusia.

Peguam dan keluarga 'tahanan' kecil tersebut tidak diberikan sebarang maklumat mengenai lokasi dan sebab mereka ditahan.

Tindakan rejim Zionis itu jelas menunjukkan mereka sengaja melanggar undang-undang antarabangsa terutamanya berhubung perlindungan kanak-kanak.

Mereka sesuka hati menggunakan kuasa berdasarkan Perintah Tentera #132 membenarkan askar menculik dan menyoal siasatan budak Palestin yang telah mencecah umur 12 tahun.

Jika dilihat semasa perang Israel-Palestin yang berlangsung selama lapan hari pada November lalu, kebanyakan mangsa terkorban adalah budak dan bayi.

Tahun 2012 sudah melabuhkan tirai, namun adakah kekejaman ke atas golongan lemah itu akan berakhir pada tahun ini? - IMEMC