IPOH – Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming masih enggan memberi kenyataan kepada polis berhubung ugutannya terhadap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hamidah Osman.

Hamidah berkata, pihak polis telah meminta Kor Ming untuk memberi keterangan berhubung ugutan terhadap dirinya kerana mendedahkan skandal pemilikan tanah membabitkan dua pemimpin kanan DAP Perak pada sidang Dun lalu.

Menurutnya, beliau gagal memberikan keterangan berkaitan ugutan itu bagaimanapun laporan polis telah dibuat  oleh  Adun Tronoh, V Sivakumar.

“Saya kecewa dengan sikap beliau dan jika saya telah membuat laporan palsu mengenai ugutan tersebut, maka Kor Ming sendiri yang sepatutnya membuat laporan polis bukannya Sivakumar kerana dia tidak ada di situ,”katanya kepada media, semalam.

Hamudah berkata,beliau difahamkan, Timbalan Pendakwa Raya akan mengeluarkan arahan meminta beliau hadir memberikan keterangan berhubung laporan polisnya terhadap ugutan yang dibuat Kor Ming.

Sebelum ini, Hamidah menerima ugutan daripada Kor Ming ketika sedang berada di dewan makan sidang Dun, 20 Disember lalu selepas mendedahkan skandal pemilikan tanah di Kelantan dan laporan polis telah dibuat pada 22 Disember lalu di Balai Polis Kampung Rapat.

Hamidah berkata, pada masa yang sama Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan Kor Ming perlu menjelaskan dari mana sumber kewangan yang diperoleh untuk menyediakan dana RM31 juta bagi membeli dan memiliki syarikat Upaya Padu Sdn Bhd seterusnya mengusahakan tanah pajakan daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK) seluas lebih 4,200 hektar di Relai, Gua Musang.

“Mereka masih berdolak-dalik mengenai perkara ini dan cuba mengalih perhatian dengan membangkitkan isu lain pula. Cara paling terbaik ialah beliau tampil mendedahkan dan menjelaskan perkara yang sebenar,” katanya.