Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika sedang berucap pada Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
KOTA BHARU - Pakatan Rakyat hari ini sepakat mengumumkan untuk melantik Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Perkara itu diisytiharkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di sini malam tadi.
Muktamar Tahunan Pas Kali ke-58 sedang berlangsung di sini.
"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," katanya secara terbuka.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Anwar juga berucap pada himpunan malam tadi.
Kit Siang berkata, pendirian itu dibuat untuk menyelamatkan negara daripada amalan rasuah yang semakin berleluasa.
Himpunan malam tadi di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV menghimpunkan kira-kira 40,000 penyokong.
Awal Januari lalu, PR pernah mengulangi pendirian bahawa Anwar akan dilantik Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi PRU13 kerana beliau dianggap "paling bersih".
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tiada pemimpin PKR, DAP dan Pas yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang ketujuh sekiranya pakatan mereka menang pilihan raya akan datang.
"Ini bukan soal kita bela Anwar saja tetapi kita bela kerana beliau saja (pemimpin di negara ini) yang paling bersih untuk menjadi Perdana Menteri," kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Harakahdaily melaporkan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Mohd Nahwari Hashim menyerahkan borang keahliannya kepada Abdul Hadi malam tadi.
Mohd Nahrawi juga  pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam.
"Saya dah lama nak menyertai Pas, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya. Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih Pas," katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/politik/kit-siang-anwar-pm-jika-kuasai-putrajaya-1.104289