Khalid Abdul Samad
Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad mempertahankan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersabit kenyataannya dalam isu kebebasan beragama sebagai bertujuan untuk berdakwah kepada bukan Islam di negara ini.

Bagaimanapun menurut Khalid, kenyataan Nurul Izzah itu dijadikan bahan fitnah dan sengaja diputarbelitkan oleh pihak tertentu atas dasar kepentingan politik.

"Dia mengasaskan hujahnya kepada ayat 'La Iqra Haffidin' - tidak ada paksaan dalam agama.

"Forum dianjurkan di sebuah gereja. Maknanya dia pergi, latar belakangnya, hendak berdakwah, berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam, nak berdakwah menyatakan kepada orang bukan Islam, jangan takut pada Islam kalau ada pemerintahan yang berasaskan Islam sekali pun, soal kebebasan beragama dijamin dalam Islam. Itu konteksnya. 

"..... hilangkan ketakutan orang bukan Islam terhadap Islam tapi akhirnya dia ditempelak dengan tuduhan hendak memurtadkan orang," jelas Khalid.

Nurul Izzah pada 3 November lalu dijemput sebagai seorang panelis dalam forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana? Tanggungjawab Siapa?

Pada sesi forum itu, Nurul Izzah ditanya "apabila anda bercakap tentang kebebasan beragama, adakah ini termasuk masyarakat Melayu sekali?".

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kemudian menjawab "bila anda bertanya kepada saya, tiada paksaan dalam agama. Dr Farouk pun telah memetik ayat Quran tersebut. Bagaimana anda boleh menanyakan kepada saya, atau kepada sesiapa pun… Bagaimanakah sesiapa boleh mengatakan, "Maaf, ini hanya untuk orang bukan Melayu".

"Ia mesti diaplikasi secara saksama. Inilah asas," Nurul Izzah dipetik sebagai berkata.