Datuk Seri Dr Ali Hamsa
Datuk Seri Dr Ali Hamsa
PETALING JAYA - Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa akan mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan Jaringan Melayu Malaysia terdapat lebih 10 pegawai kerajaan terlibat dalam komplot menjadi tali barut Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendedahkan maklumat melibatkan keselamatan negara.
"Oleh kerana ia masih dakwaan, saya akan minta JPA dan lain-lain agensi untuk melihat sama ada dakwaan seperti ini benar atau tidak. Jika ada kebenaran tindakan akan diambil terhadap pegawai yang terlibat," kata beliau dipetik Bernama.
Terdahulu beliau merasmikan Pameran dan Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ 2012 di sini, hari ini.
Kelmarin, Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah mendakwa, pegawai kerajaan itu juga terlibat menutup maklumat Suaram menerima dana asing yang dikatakan bernilai kira-kira RM100 juta sejak 1998.
Azwanddin mendakwa pegawai kerajaan itu disogok Suaram melalui dua syarikat iaitu Suara Komunikasi Enterprise dan Suara Inisiatif Sdn Bhd.
“Saya dapat beberapa bukti dan ini merisaukan kerana bagaimana pegawai kerajaan ini berani menerima sogokan  Suaram untuk dedah rahsia kerajaan.
“Ia melibatkan beberapa kepentingan dalam kementerian dan jabatan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Bank Negara,” katanya.
Mengulas dakwaan pertubuhan itu semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya akan menyiasat dan pemantauan yang berterusan akan dijalankan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
 
"Saya tidak boleh sahkan atau nafikan dakwaan itu tetapi kita akan pantau perkara-perkara yang sensitif melibatkan kepentingan negara sama ada maklumat, wang ringgit dan juga orang-orang luar," katanya.