KUALA LUMPUR - Syarikat dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS)akan 'gulung tikar' jika gaji minimum RM1,100 yang dijanji pembangkang dalam belanjawan mereka menjadi kenyataan.
Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMI) Teh Kee Sin berkata berdasarkan kajian ringkas mereka, komuniti PKS bukan sahaja tidak bersetuju dengan cadangan itu tetapi juga berpandangan akan timbul masalah pengangguran kerana ekonomi dunia kini semakin mencabar.
"Kami ingin memastikan bahawa cadangan ini tidak akan dilaksanakan dan menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mahu menyerahkan memorandum berhubung perkara tersebut kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim namun gagal dan hanya menyerahkannya kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat yang juga Anggota Parlimen Batu Tian Chua.
Beliau juga menyerahkan memorandum sama kepada wakil rakyat Barisan Nasional Khairy Jamaluddin (Rembau) dan P. Kamalanathan (Hulu Selangor).
Menurut Teh, SMI yang mempunyai kira-kira 10,000 anggota di seluruh negara juga menganggap belanjawan alternatif yang dibawa pembangkang sebagai tidak relevan dengan keadaan sebenar ekonomi. - Bernama