PETALING JAYA - Seorang pembantu kedai telefon bimbit dihukum penjara empat tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah mencederakan seorang pelajar dengan menggunakan topi keledar dan buku lima di Damansara Damai, di sini, Mei lepas.
  
Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Noor Hajibul Yadi Hashim, 23, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
  
Suraiya memerintahkan hukuman penjara terhadap Noor Hajibul Yadi bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 8 Jun lepas dan tambahan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
  
Noor Hajibul Yadi, bersama tiga lagi yang masih bebas, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas pelajar berusia 18 tahun, iaitu luka di kepala dan retak tulang pipi.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaki lima hadapan Cyber Cafe SGB Network N007 Jalan PJU 10/2C Damansara Damai, di sini, pada 2.55 pagi, 21 Mei lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
  
Ketika memohon meringankan hukuman, Noor Hajibul Yadi berkata dia perlu menanggung ibunya yang sudah tua.
  
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun. - Bernama