Kong Cho Ha
Kong Cho Ha
KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik melihat senarai lokasi pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara yang kini banyak tersebar menerusi internet, terutama Facebook dan blog.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menasihatkan demikian kerana senarai yang disebarkan itu bukan berstatus rasmi, tetapi hanya cadangan.

"Kita (Kementerian Pengangkutan) masih lagi mengkaji senarai itu yang dicadangkan polis. Belum ada keputusan muktamad mengenainya," katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 59 di sini, semalam.

Mengulas mengenai senarai itu, Cho Ha berkata, begitu juga pemasangan kamera di kawasan yang dianggap tidak sesuai, selain had laju tidak munasabah.

Menurutnya, ini termasuk laluan had laju 30 km/j di Belantik, Sik, Kedah (longitud 100.816212, latitud 6.022178) dan di KM 27 Jalan Langkap ke Kampang, Perak dalam senarai yang dikeluarkan dalam internet.

Cho Ha berkata, sungguhpun wujud pelbagai dakwaan, AES diyakini mampu mengurangkan kadar kecelakaan jalan raya di negara ini yang mencatatkan angka kemalangan dan kematian yang menggerunkan setiap tahun.

“Setakat ini, lebih 800 cadangan lokasi dan had laju yang kebanyakannya kawasan hitam yang sering berlaku kemalangan,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu merangkumi pelbagai aspek dan ia akan dikaji secara mendalam pihak kementerian, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan bukan mahu menghukum rakyat atau sengaja mengenakan denda, tetapi mahu menerapkan disiplin kepada pengguna jalan raya.

“Kita beri jaminan akan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan orang ramai,  ketua masyarakat untuk meningkatkan penyertaan dalam program kesedaran bagi memastikan setiap individu faham faedah AES,” katanya.

Cho Ha berkata, antara anggota pemilih yang menganggotai jawatankuasa mengkaji AES, termasuk wakil Perbendaharaan, Pejabat Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).