Pemilik tanah dapat pampasan
Elias (tengah) menunjukkan rumah yang bakal dihuni penduduk Pengerang yang dipindahkan ke penempatan baru bersama Timbalan Pengarah PTG Johor, Azmi Rohani ( kiri).
NUSAJAYA - Fasa pertama pembayaran kepada pemilik 74 plot tanah yang bersetuju untuk pengambilalihan tanah bagi pembangunan projek Kompleks Bersepadu Pengerang Petroleum (PIPC) akan diberikan selewatnya minggu depan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Elias Hasran berkata sebanyak 223 plot tanah telah dibicarakan bagaimanapun hanya 74 pihak berkenaan iaitu terdiri daripada pemilik atau pemegang gadaian bagi tanah terbabit bersetuju.

“Sebanyak 191 borang H iaitu borang bagi tuntutan dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) namun hanya 74 dikembalikan tanda persetujuan.

“PTG telah menyediakan 33 baucar bayaran yang akan diberikan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh persetujuan dengan 16 penerima akan mendapat cek (pembayaran) pada minggu depan,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Elias menegaskan proses pemindahan penduduk fasa pertama yang melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Sungai Kapal, Kampung Langkah Baik, Kampung Teluk Empang hanya dilaksanakan April tahun depan, sekali gus menolak dakwaan penduduk diarahkan berpindah sejak September ini.

“Penduduk ini akan ditempatkan di penempatan baru di Taman Bayu Permai seluas 387 ekar iaitu lapan kilometer daripada pekan Sungai Rengit.

“Ia membabitkan 640 rumah dari tiga kampung ini akan berpindah di situ yang mampu menempatkan 1,000 unit rumah dari tujuh kampung yang terlibat.

“Kerajaan berjanji akan mengekalkan penempatan mereka dalam keadaan sebelum ini, di mana nama kampung, pentadbir juga akan dikekalkan,” katanya.

Mengulas mengenai pemindahan tanah perkuburan Islam dan Cina yang turut akan dipindahkan ke kawasan baru, Elias berkata perkara itu sedang dimuktamadkan dengan mengikut lunas undang-undang dan tuntutan pegangan agama masing-masing.

Perkuburan Islam telah diperuntukkan tanah seluas 80 ekar keseluruhan di mana 40 ekar telah dilakukan kerja-kerja permulaan di Punggai.

“Kerajaan berjanji akan menempatkan tanah perkuburan ini dalam teratur dan lengkap dengan laluan masuk-keluar dan akses kemudahan lain.

“Proses rundingan bagi kubur Cina yang dicadangkan di Bukit Gelugor juga akan diselesaikan dalam masa terdekat, kita bertanggungjawab memastikan segala proses pemindahan ini mengikut prosedur pegangan agama itu,” katanya.

Elias menegaskan penduduk rata-rata bersetuju dengan pembangunan projek PIPC itu, namun hanya segelintir masyarakat yang menentang.

Beliau juga mengumumkan enam pegangan menjadi garis panduan pembangunan PIPC di situ iaitu mendidik bagi perubahan minda; penempatan semula secara terperinci; pembangunan produktif kepada penduduk; pampasan dan imbuhan yang munasabah; faktor alam sekitar yang dititik berat; dan faedah pembangunan pelaburan.


WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012