Koi Pin
Koi Pin menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam. Gambar kecil: SMS ugutan yang didakwa diterimanya.
IPOH – Gara-gara kenyataannya yang tersiar di akhbar tempatan,  Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Gajah  menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali dipercayai berpangkat Datuk.

Ketika ditemui, mangsa, Loh Koi Pin, 66, berkata, pesanan berkenaan diterima melalui dua khidmat pesanan ringkas (SMS) dan empat panggilan daripada nombor berlainan yang mengandungi kata-kata kesat.

“Saya tidak menyangka kenyataan saya yang tersiar di akhbar itu, telah menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan saya, dalam kenyataan saya itu, saya mengaku ada menyebut ada wakil rakyat yang dibayar gaji tinggi, tapi tidak memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Saya juga ada menyebut bahawa semua wakil rakyat perlu bertanggungjawab dengan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik demi membantu rakyat selaras dengan slogan ‘Janji Ditepati.’

“Saya tidak merujuk kepada mana-mana individu pun dalam kenyataan itu. Ianya satu salah faham. Kerana khuatir nyawa saya mungkin terancam, saya telah membuat laporan polis berhubung perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Koi Pin berkata, dirinya kini hidup dalam ketakutan akibat daripada panggilan telefon serta SMS yang diterimanya itu.

Demi keselamatannya, beliau sangat berharap agar pihak polis segera membuat siasatan seterusnya dapat memberkas individu terbabit.

“Sudah tentu saya takut, saya diancam dan diugut bunuh.

“Walaupun sehingga ke hari ini masih belum ada mana-mana pihak yang mengganggu saya, saya takut, saya diancam dan diugut bunuh,” katanya.