Lima keluarga diarah berpindah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih kawasan itu yang
Lima keluarga diarah berpindah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih kawasan itu yang bermula 12 Ogos lalu.
KUALA LUMPUR - Di saat umat Islam akan menyambut perayaan Aidilfitri, lima keluarga tanah mendap Kampung Baru dikejutkan dengan notis arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berpindah rumah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih kawasan untuk jangka pendek.

Notis diterima 14 Ogos lalu itu, menimbulkan rasa kurang senang penduduk terlibat tambahan pula, perayaan semakin hampir dan perbincangan bersama pihak berkenaan masih belum selesai.

Lebih memberi tekanan apabila mereka terlibat perlu berbuat demikian dalam masa tujuh hari dari tarikh notis, atau akan di kompaun sebanyak RM250 sehari, jika tidak berpindah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Terowong Sungai Bonos, Kampung Pindah, Zainal Federick Zakaria berkata, selepas 16 bulan sejak kejadian April 2011, kehidupan penduduk terlibat tidak mendapat sebarang pembelaan dari pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Baru yang sepatutnya berjuang untuk kebajikan mangsa-mangsa sehingga kini masih berdiam diri tanpa sebarang tindakan atau usaha untuk membantu bagi meringankan beban ditanggung oleh penduduk terlibat.

“Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (KB CORP) menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah ini tapi masih belum dapat memainkan peranan berkesan dalam menangani masalah ini.

“Terlalu banyak kerenah birokrasi dan  berlakunya terlepas pandang atau mempunyai kepentingan politik pihak tertentu, menyebabkan isu yang begitu penting bagi mangsa tanah mendap terabai dan berlarutan sehingga hampir menjelang hari raya kali ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Terowong Sungai Bonos, Kampung Pindah, Abdul Ghani Mohd Noor berkata, lebih 18 keluarga yang terbabit secara langsung, melibatkan sebanyak sembilan lot yang mempunyai geran individu atau persendirian (bukan setinggan).

Katanya, masalah mendapan yang berlaku berpunca dari saluran air bawah tanah yang tidak pernah diselenggara dengan baik oleh pihak bertanggungjawab.

“Palong yang usang ini tersumbat, rosak dan pecah di beberapa bahagian dan tidak dapat lagi menampung laluan air yang banyak ketika hujan.

"Akibatnya  air yang mengalir dengan kuat dan deras mengakibatkan pergerakan tanah di bawah begitu ketara dan akhirnya menyebabkan tanah mendap berlaku dan menjadikan kawasan terbabit tidak lagi selamat untuk didiami.

“Sehingga kini sudah lebih 33 tahun saluran tersebut dibina oleh pihak JPS tanpa sebarang jaminan keselamatan  dari pihak yang bertanggungjawab kepada pemilik-pemilik tanah terbabit,” katanya.

Difahamkan, saluran bawah tanah tersebut dibina oleh Jabatan Parit dan Tali Air (JPT) pada 1968.

Seterusnya, pada 1978 ia dibuat penambahbaikan kerana saluran tersebut pecah lagi akibat banjir pada ketika itu.