KUALA LUMPUR - Qatar Holding LLC, yang memiliki jenama mewah bertaraf dunia, Harrods, dan pemaju hartanah Jerantas Sdn Bhd akan melabur bersama sebanyak RM2 bilion untuk membina Hotel Harrods di sini.
 
Hotel dengan 250-300 bilik itu, yang terletak berhadapan kompleks membeli belah Pavillion di Jalan Bukit Bintang, akan menjadi hotel mewah pertama seumpamanya di bina di Asia.
 
Pembinaan akan bermula setahun daripada sekarang, kata Naib Pengerusi Qatar Holding Dr Hussain Ali Al-Abdulla pada sidang akhbar selepas memeterai Memorandum Persefahaman dengan Jerantas di majlis yang disaksikan oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
 
Qatar Holding juga akan membina hotel Harrods di London dan Sardinia, Itali, katanya, sambil menambah pembinaan hotel Harrods di Kuala Lumpur akan bermula serentak dengan hotel di London.
 
"Qatar Holding akan melabur lebih banyak terutamanya dalam sumber semulajadi Malaysia disebabkan kestabilan politik negara dan pertumbuhan ekonomi yang dijangka pada purata 5 peratus," katanya.
 
Sementara itu, Pengarah Pavilion Reit Management Sdn Bhd Ooi Ah Heong berkata hotel dan pangsapuri berperkhidmatan itu akan dibangunkan di tanah seluas 2.2 hektar antara Jalan Raja Chulan dan Jalan Conlay berdekatan Kompleks Kraftangan Malaysia, Chulan Square dan Seri Melayu Restaurant.
 
"Kami membeli tanah itu pada harga RM1800 satu kaki persegi (RM167 satu meter persegi) daripada kerajaan menerusi tender terbuka," katanya.
 
Qatar Holding ialah anak syarikat milik penuh Qatar Investment Authority.
 
Pelaburan utamanya termasuklah Agriculture Bank of China, Harrods Group, Hassad Food Company, Iberdola SA, J Sainsbury plc, London Stock Exchange, Lagardere, Porsche, Qatar Exchange, Qatar Telecom, Qatar National Bank, Santander Brasil dan Volkswagen AG.
 
Pemegang saham utama Jerantas ialah PS Trading Sdn Bhd (33.99 peratus) dan Gagasan Simfoni Sdn Bhd (65.99 peratus). -Bernama