Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU - Keputusan bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin untuk meletakkan semua jawatan dalam parti didakwa kerana terpengaruh dengan perang psikologi pakatan pembangkang yang kononnya akan membentuk kerajaan akan datang selepas pilihan raya umum akan datang.
Menyifatkan keyakinan pakatan pembangkang untuk mencapai cita-cita mereka itu hanya sekadar propaganda politik, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata peletakan jawatan oleh Lajim tidak ada kena mengena dengan masalah dalaman Umno negeri.
"Saya percaya beliau (Lajim) tidak mahu terlepas peluang...sebab itu kenapa beliau cuba mencari sebab untuk misinya itu, tetapi bagi saya, apa yang dijanjikan pakatan hanyalah satu harapan atau impian sahaja," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lajim sebelum ini mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta merta.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk kekal sebagai anggota Umno dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik sebagai berkata "apa yang berlaku merupakan isu dalaman yang bersifat peribadi membabitkan Lajim dan orang tertentu dalam kancah politik negeri. Ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan parti yang telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat keseluruhannya".
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan juga dipetik sebagai berkata keputusan Lajim untuk keluar daripada BN lebih kepada masalah peribadi.
Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata pucuk pimpinan negeri sentiasa bersikap terbuka kepada perbincangan mengenai bagaimana untuk memperkukuhkan parti dan setiap orang perlu memainkan peranan.
"Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah (Datuk Seri Musa Aman) amat terbuka dan sedia berbincang. Bagaimanapun, parti mesti menolak pemimpin yang mahu mempertaruhkannya.
"Perkiraan politik Lajim adalah silap. Semua kajian yang dijalankan profesional menunjukkan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada di tahap selesa," katanya dan menurutnya keputusan Lajim itu tidak akan menjejaskan kekuatan BN di negeri ini.
Bekas ketua menteri itu berkata: "InsyaAllah, populariti Najib akan dapat menerajui BN memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang".
Salleh berkata Umno dan BN sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan tidak lama lagi. - Bernama